KUALA LUMPUR 22 Jun - Glomac Berhad dijangka catat pendapatan lebih baik pada tahun kewangan berakhir 30 April 2024 (FY24) berikutan pengebilan kemajuan meningkat memandangkan isu kekurangan buruh beransur-ansur selesai, menurut MIDF Research.
Di samping itu, firma penyelidikan itu berkata prospek jualan baharu kekal positif disebabkan kumpulan itu menyasarkan untuk melancarkan projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM475 juta pada FY24.
“Kami kekal positif terhadap unjuran pendapatan Glomac disebabkan peningkatan pengebilan kemajuan dan prospek jualan baharu yang lebih baik,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Firma itu menyemak naik unjuran pendapatan bagi FY2 dan FY25 masing-masing sebanyak 9.2% dan 7.2% untuk mengambil kira pengebilan kemajuan yang lebih tinggi serta memperkenalkan ramalan pendapatan untuk FY26.
MIDF Research mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) dikekalkan pada 43 sen sesaham, berdasarkan diskaun 75% kepada aset bersih dinilai semula (RNAV).
Susulan keputusan suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23) semalam, MIDF Research berkata pendapatan kumpulan pada tahun kewangan 2023 (FY23) sebanyak RM31.3 juta melebihi jangkaan, membentuk anggaran tahun penuh firma dan konsensus masing-masing pada 116% dan 106%.
BACA: Untung bersih 4Q Glomac susut 16% disebabkan perbelanjaan dan kos kewangan lebih tinggi
“Sisihan positif itu terutamanya disebabkan oleh pengebilan kemajuan yang lebih tinggi daripada jangkaan. Sementara itu, dividen sebanyak 1.25 sen sesaham telah dicadangkan, diterjemahkan kepada hasil dividen sebanyak 4%,” tambahnya.
Mengulas prestasi suku ke suku, MIDF Research berkata Glomac telah menyaksikan lonjakkan pendapatan bersih dalam 4QFY23 kepada RM13.9 juta, didorong oleh pecutan pengebilan kemajuan, berbanding RM420,000 pada 3QFY23 yang terjejas oleh peningkatan kadar cukai dan perbelanjaan dan pengebilan kemajuan yang lebih rendah.
Sementara itu, jualan hartanah baharu kukuh sebanyak RM148 juta pada 4QFY23 berbanding jualan hartanah baharu sebanyak RM48 juta pada 3QFY23, menjadikan jumlah jualan baharu FY23 meningkat kepada RM302 juta, lebih tinggi daripada jualan RM160 juta yang dicapai pada FY22.
Oleh itu, jualan belum dibil Glomac turut meningkat kepada RM528 juta dalam suku semasa daripada RM448 juta pada 3QFY23.
Pada waktu penulisan, saham Glomac menokok 1 sen atau 3.2% kepada 32 sen dengan modal pasaran berjumlah RM256 juta. - DagangNews.com








