Merungkap perihal ESG: Dari kaca mata orang Teluk Intan | DagangNews Skip to main content

Merungkap perihal ESG: Dari kaca mata orang Teluk Intan

Oleh Dr Shahrul Azmi Yusoff

MELAYARI media sosial sekarang, tidak ada siapa yang akan terlepas pandang tema ‘aku mahu kaya’ menjadi matlamat utama jiwa muda yang menceburi bidang perniagaan.

 

Namun, dalam lanskap perniagaan yang lebih besar dan universal, ahli korporat beberapa tahun kebelakangan ini mula melontarkan terma baru yang barangkali tidak asing bagi anda yang terlibat iaitu ESG.

 

Perusahaan kecil dan sederhana yang berkiblatkan kaedah ekonomi barat telah mula diperkenalkan dengan tuntutan tersebut dalam usaha untuk mendapat pengiktirafan diperingkat global sebagai sebuah syarikat yang dari sudut tadbir urusnya adalah cukup berwibawa.

 

 

Dr Shahrul Azmi Yusoff
                     Dr Shahrul Azmi Yusoff

 


Selama penulis mengikuti pelbagai sessi ceramah dan bengkel pemikir ekonomi, seringkali terfikir, ‘Apa maknanya semua ini dari sudut pandang seorang peniaga kecil seperti kedai papan Kamil di Teluk Intan?’

 

Pemilihan Teluk Intan sebagai subjek sampingan metafora tulisan ini adalah kerana penulis lahir di pekan kecil yang terkenal dengan menara jam separa condong.

 

 

parafrasa

 

 

Artikel ini akan mengulas ESG secara lebih mudah difahami dan dapat dipraktiskan dalam perjalanan perniagaan harian dan membuktikan bahawa ia sebenarnya sesuatu yang memang menjadi lumrah kepada budaya kehidupan kita.

 

Environment, Social and Governance secara literalnya membawa makna Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus.

 

Lanskap perniagaan moden mula melihat ketiga-tiga perkara ini adalah teras utama dalam menentukan kejayaan sesebuah perniagaan, tidak lagi pada perspektif satu dimensi ‘aku mahu kaya’ yang sering diperkatakan.

 

Pendek kata, sekiranya Kamil itu tuan kedai papan di Teluk Intan, apa gunanya kalau tuan kedai kaya tapi pekerja semua hidup melata, alam semesta tidak terjaga dan hidup tanpa pegangan tatakelola.

 

Dunia yang lebih lestari (E)

Kelestarian alam semesta adalah perkara utama pada ketika ini untuk memastikan dunia masih boleh diduduki dengan selesa.

 

Pemimpin dunia melalui persidangan seperti COP28 menggariskan beberapa langkah utama untuk memastikan suhu bumi tidak meningkat ke paras bahaya.

 

 

parafrasa

 


Penggunaan tenaga hijau seperti solar dan kereta elektrik diletakkan sebagai langkah positif kerana tidak lagi bergantung kepada arang batu dan minyak dalam penjanaan tenaga.

 

Oleh yang demikian, mana-mana syarikat yang menggunakan tenaga hijau akan dilihat lebih beretika dan relevan dari sudut alam sekitar (E).

 

Jika dilihat dari sudut kedai papan Kamil, penggunaan tenaga solar untuk gergaji papan menggantikan tenaga eletrik janaan arang batu adalah sesuatu yang bernilai positif dalam kerangka ESG.

 

Jurang sosial yang minimum (S)

Golongan korporat tidak lagi boleh dilihat sebagai berjaya sekiranya menekan golongan pekerja.

 

Sebagai contoh, seorang ketua eksekutif tidak dilihat sebagai bertanggungjawab sekiranya gaji yang dibayar untuk khidmatnya adalah 10 kali lipat dari gaji pekerja bawahan yang mewujudkan jurang sosial golongan atasan T20 dan yang tercorot di B40.

 

Harus diingat bahawa penilaian kejayaan korporat sebelum kewujudan kaedah ESG ini hanya mengutamakan penyata untung rugi.

 

Dalam tiga aspek ESG, aspek sosial seringkali merupakan yang paling kompleks dan mencabar untuk dilaksanakan oleh perniagaan.

 

Ini kerana isu-isu sosial boleh menjadi sangat subjektif dan berbeza-beza bergantung pada konteks budaya, politik, dan ekonomi di mana sebuah syarikat beroperasi.

 

Walau bagaimanapun, menangani isu-isu sosial adalah penting bagi perniagaan yang ingin membina hubungan yang kukuh dengan pelanggan, pekerja, dan pihak berkepentingan lain, serta menyumbang kepada masyarakat yang lebih saksama.

 

Syarikat kedai papan Kamil perlu memastikan yang setiap pekerja mereka diperlakukan dengan adil dan bermaruah.

 

 

parafrasa


 

Tatakelola yang tidak ke laut (G)

Aspek tadbir urus ESG tertumpu pada memastikan perniagaan beroperasi dengan cara yang etika, telus, dan bertanggungjawab. Ini termasuk isu-isu seperti kepelbagaian lembaga pengarah dari sudut jantina, pampasan eksekutif, dan hak pemegang saham.

 

Dengan memberi keutamaan kepada tadbir urus, keputusan dalam melaksanakan perniagaan akan dibuat secara lebik kolektif dan tidak autokratik.

 

Isu tadbir urus yang penting yang lain ialah pampasan eksekutif. Syarikat yang memberi keutamaan kepada keadilan dan ketelusan dalam dasar pampasan mereka lebih cenderung untuk menarik dan mengekalkan bakat terbaik, sambil mengurangkan risiko perilaku tidak beretika.

 

Selain itu, perniagaan yang memberi keutamaan kepada tadbir urus lebih cenderung untuk mempunyai proses pengurusan risiko yang kukuh, yang dapat membantu melindungi daripada kerosakan kewangan dan reputasi.

 

Akhirnya, perniagaan yang memberi keutamaan kepada tadbir urus mesti memastikan bahawa mereka telus dalam berkomunikasi dengan pihak berkepentingan.

 

Ini termasuk memberikan maklumat yang jelas dan tepat mengenai dasar-dasar dan prestasi ESG mereka, serta terlibat dalam dialog berterusan dengan pihak berkepentingan untuk memahami kebimbangan dan keutamaan mereka.

 

Dengan membina kepercayaan melalui komunikasi yang telus, perniagaan dapat membina hubungan yang lebih kukuh dengan pelanggan, pekerja, dan pelabur, sambil juga menyumbang kepada dunia yang lebih mampan dan adil.

 

 

parafrasa

 

 

Kedai papan Kamil tidak akan dilihat sebagai kedai yang tatakelolanya `ke laut’ sekiranya dinobatkan sebagai syarikat mengamalkan ESG.

 

Maka berlumba-lumbalah entiti seperti bank untuk tampil membantu, akhirnya setiap kali orang Teluk Intan memikirkan papan rumah baru, kedai papan Kamil bakal menjadi pilihan. - DagangNews.com