DALAM menghadapi isu keterjaminan makanan yang semakin mendesak, Malaysia memerlukan pendekatan yang lebih terstruktur dan berwawasan jauh.
Statistik menunjukkan bahawa negara semakin bergantung kepada import produk ternakan, termasuk ayam dan telur, dengan lebih daripada 30% keperluan protein haiwan dipenuhi melalui import.
Hal ini mencerminkan kelemahan yang ada dan menunjukkan keperluan mendesak untuk meningkatkan industri ternakan domestik.
Dengan pertumbuhan populasi yang dijangka mencapai kira-kira 35 juta menjelang 2030, permintaan terhadap produk ternakan di negara ini akan semakin meningkat.
Oleh itu, usaha membangun industri ternakan domestik bukan sahaja penting dari segi keberlanjutan, tetapi juga dalam memenuhi keperluan rakyat.
Malaysia harus mengambil inspirasi dari negara jiran seperti Singapura yang telah berjaya mengurangkan kebergantungan mereka pada import makanan.
Langkah ini dapat dicapai melalui peningkatan teknologi pertanian dan ternakan yang maju, meningkatkan produktiviti dan kemahiran, serta membuka jalan bagi Malaysia untuk menjadi negara eksport produk ternakan yang kompetitif.
Singapura, yang selama ini bergantung hampir 70% pada import untuk memenuhi permintaan telurnya, kini sedang memfokuskan sumber dan tenaga untuk mengembangkan empat ladang ayam telur tempatan, dengan matlamat akhir mencapai 50% kemandirian.
Melihat keberhasilan Singapura, negara kita, dengan tanah subur dan ramai graduan mahir dalam bidang ternakan, berada dalam posisi yang strategik untuk mengadaptasi model ini.
Pengembangan industri ternakan ayam domestik bukan sahaja dapat mengurangkan kebergantungan pada import ayam pembiak baka atau parent stock (PS), terutama dari Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat, tetapi juga memperkukuh ekonomi tempatan.
Kementerian Pertanian & Keterjaminan Makanan harus memainkan peranan utama dalam inisiatif ini.
Tidak cukup hanya dengan menyediakan dana; infrastruktur, pendidikan, dan peluang yang kondusif perlu diberikan untuk menunjang pertumbuhan industri ini.
Pemberdayaan graduan muda dan pemberian sokongan kepada usaha syarikat baharu bermula (start-up) dalam bidang ternakan akan menjadi kunci utama untuk mencetuskan inovasi dan pertumbuhan.
Dengan menyokong graduan dalam bidang ternakan dan memberikan mereka peluang serta geran, kerajaan dapat merangsang pertumbuhan industri ini.
Ini bukan hanya tentang memenuhi keperluan domestik tetapi juga tentang menciptakan peluang kerja, meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan, dan pada akhirnya memperkuat ekonomi negara.
Dengan sumber tanah yang subur dan ramai graduan mahir dalam bidang ternakan, Malaysia berpotensi untuk mengembangkan industri ternakan ayam domestiknya, mengurangkan kebergantungan pada import, dan memajukan ekonomi tempatan. - DagangNews.com