Menunggu masa KLIA kembali gah, menjadi sebutan dunia | DagangNews Skip to main content

Menunggu masa KLIA kembali gah, menjadi sebutan dunia

Oleh Syed Rahman Syed Rahim

FUNGSI dan kepentingan lapangan terbang dalam konteks kehidupan moden tidak boleh dipandang remeh kerana ia adalah tulang belakang pergerakan dan menjadi antara platform penyumbang utama dalam pembangunan sesebuah negara.

 

Dalam era dunia tanpa sempadan, perhubungan yang semakin global dan bergerak cepat, lapangan terbang memainkan peranan penting dalam menghubungkan antara masyarakat domestik dan dunia, memudahkan urusan perdagangan dan membawa impak kepada ekonomi serta kesejahteraan manusia.

 

Lapangan terbang juga aset strategik sesebuah negara yang imejnya boleh terjejas jika kualiti perkhidmatan tidak diendah, sekali gus boleh menjauhkan pelancong dan pelabur luar daripada berkunjung.

 

Kemudahan yang disediakan di pintu masuk utama itu harus sesempurna mungkin dan mencapai standard yang sepatutnya, manakala opersi perlu dipastikan efisien dan selesa untuk penumpang.

 

Justeru, pengumuman mengenai cadangan penstrukturan semula pegangan dalam Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), syarikat pengendali lapangan terbang negara wajar diterima dengan hati terbuka.

 

Cadangan oleh konsortium yang dipimpin oleh Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk mengambil Malaysia Airport Holdings Bhd swasta adalah langkah yang dialu-alukan dan saya berharap ia akan menjadi kenyataan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: 11 sebab penswastaan MAHB untuk anda kira satu-satu | MERREPAK

 

Saya sangat bersetuju dengan apa yang dinyatakan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, bahawa cadangan itu akan membuka ruang untuk MAHB meningkatkan kecekapan dengan membuat lebih banyak keputusan strategik secara cepat selain memudah cara pelaksanaan hala tujunya.

 

Apatah lagi, konsortium yang mengemukakan cadangan pengambil alihan itu bukan calang-calang, dipimpin oleh Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berpengalaman luas dalam mengurus perniagaan dan pelaburan di dalam dan luar negara.

 

Apabila menjadi entiti swasta yang majoriti ekuitinya dipegang dana kekayaan berdaulat serta dana persaraan utama Malaysia, MAHB pastinya bakal ditatang dengan penuh cermat dan dipastikan menjana keuntungan untuk memberi pulangan kepada negara dan rakyat, selain pelbagai keputusan strategik dapat dibuat dengan cepat.

 

Saya yakin konsortium terbabit dengan gabungan tenaga pakar yang ada mampu melaksanakan pelan pemulihan, meningkat dan memodenkan rangkaian lapangan terbang serta operasi MAHB, melonjakkan mutu perkhidmatan pelanggan serta hubungan penerbangan dan merangsang pertumbuhan penumpang serta kargo.

 

Semua itu sangat diperlukan oleh lapangan terbang kita dan tindakan harus dimulakan sekarang bagi menyokong usaha kerajaan untuk merangsang pertumbuhan sektor pelancongan dan memulihkan aliran penumpang udara yang begitu terkesan dengan impak pandemik COVID-19, selain usaha menambah kemasukan pelaburan.

 

Bukan untuk merendahkan aset strategik negara sendiri, namun mereka yang pernah berurusan di lapangan terbang kita pasti sedar dengan situasi semasa di pintu keluar masuk utama yang paling penting ke Malaysia itu.

 

Banyak penambahbaikan diperlukan, dari sekecil-kecil isu teksi, masalah pendingin hawa dan tandas di lapangan terbang negeri sehinggalah khidmat aerotren antara bangunan utama dan bangunan satelit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang sudah lama digantung, iaitu sejak Mac tahun lalu kerana kerap rosak.

 

Fakta juga bahawa KLIA berada dalam  senarai lapangan terbang terburuk kelapan di Asia seperti dirumuskan dalam laporan oleh 'Business Financing' pada Februari lalu berdasarkan data dari laman web 'airlinequality' yang membuat penilaian secara purata daripada pengembara perniagaan untuk menentukan kedudukan lapangan terbang secara global mengikut benua dan negara.

 

Dalam tempoh 23 tahun, kedudukan KLIA merudum selepas dinobatkan sebagai lapangan terbaik terbaik kedua di dunia pada 2001 dan dilaporkan hanya mencatatkan 76 peratus trafik udara berbanding purata 94 peratus di peringkat global dan 86 peratus di rantau Asia Pasifik, malah lebih rendah berbanding Manila yang merekodkan 95 peratus, Singapura (86 peratus) dan Bangkok (79 peratus).

 

ARTIKEL BERKAITAN: KLIA turun 4 lagi tangga, kini 71 dalam senarai lapangan terbaik dunia Skytrax 2024

 

Kita tidak mahu kedudukan KLIA terus merudum selepas turun daripada kedudukan 68 kepada 71 dalam senarai Lapangan Terbang Terbaik Dunia Skytrax 2024, hasil tinjauan pendapat dikumpul antara Ogos 2023 hingga Mac 2024 daripada pengembara 100 negara.

 

Pastinya juga kita tidak mahu lebih jauh ditinggalkan negara jiran yang lapangan terbangnya di Jakarta melonjak 15 anak tangga daripada 43 kepada 28, apatah lagi Lapangan Terbang Antarabangsa Changi di Singapura yang saban tahun bersaing merebut gelaran terbaik.

 

Sekarang adalah masanya untuk KLIA kembali menjadi sebutan dunia, tidak harus kita menunggu kerajaan bertukar ganti lagi, menteri pengangkutan dan pengurusan kanan MAHB datang dan pergi dengan meninggalkan pelbagai janji.

 

Kita mahu melihat penarafan terbaik untuk lapangan terbang Malaysia dalam senarai oleh Skytrax. Kita juga mahu keyakinan, kepercayaan dan kepuasan pengguna kembali mengukuh, bukannya terus merosot.

 

 

 

 

Untuk itu, wajar kita bersikap terbuka dan memberi peluang kepada yang pakar walaupun warga asing untuk datang membantu mencapai matlamat itu kerana rekod dan latar belakang mereka sudah membuktikannya.

 

Konsortium dipimpin Khazanah Nasional dan KWSP dalam cadangan pengambilalihan MAHB turut disertai Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA) dan Rakan Infrastruktur Global (GIP), antara pelabur infrastruktur terkemuka dunia dengan pengalaman memiliki, mengurus dan memulihkan lapangan terbang lapangan terbang di Sydney serta London Gatwick.

 

Ingat juga jaminan Menteri Pengangkutan kita, MAHB bukan dijual, sebaliknya Khazanah Nasional dan KWSP meningkatkan lagi pegangan sahamnya dalam syarikat yang menjadi antara pengendali lapangan terbang terbesar di dunia itu. - DagangNews.com

 

Syed Rahman Syed Rahim adalah pembaca DagangNews.com