Menganalisis kes penderaan kanak-kanak di Malaysia, adakah cara mengekangnya? | DagangNews Skip to main content

Menganalisis kes penderaan kanak-kanak di Malaysia, adakah cara mengekangnya?

Oleh Solehah Nuraqilah Mohd Fadzir & Velan Kunjuraman

PENDERAAN di Malaysia tidak pernah berkurangan bahkan semakin merisaukan semua pihak kerana isu ini banyak tersebar di laman sosial, dada akhbar dan sebagainya.

 

Isu penderaan ini bukan hanya di Malaysia namun dapat dikesan berlaku di mana-mana sahaja kerana masalah ini tidak pernah berhenti dilaporkan di media.

 

Adakah penderaan itu hanya dari segi penderaan fizikal? Adakah isu penderaan itu berlaku di Malaysia? Mengapa ia boleh terjadi? Siapakah golongan pendera? Siapakah yang didera? Apakah penderaan ini memberi kesan kepada mangsa? Usaha menangani isu ini dari terus berleluasa? Apakah ibu bapa menjadi tanggungjawab utama dalam membanteras isu penderaan ini atau ibu bapa sendiri yang melakukan penderaan ini kepada anak-anak mereka?

 

Persoalan-persoalan ini mula timbul jika isu penderaan ini digembar-gemburkan di laman sosial dan rencana ini akan menghuraikan satu demi satu mengenai persoalan-persoalan tersebut.

 

Rencana ini mengupas mengenai isu penderaan kanak-kanak yang didefinisikan sebagai satu perlanggaran atau pencabulan terhadap hak kanak-kanak untuk hidup berkembang dalam kehidupan mereka.

 

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mendefinisikan isu ini adalah bentuk penderaan yang boleh menyebabkan kecederaan kepada kesihatan dan kehidupan kanak-kanak.


 

parafrasa

 


Kanak-kanak ialah seseorang yang berumur di bawah lapan belas tahun menurut definisi oleh Akta Kanak-kanak 2001, Seksyen 2. Tambahan pula, kes penderaan ini amat serius kerana menurut undang-undang hukuman akan dijatuhkan terhadap kes penderaan kanak-kanak di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Kanak-kanak 2001.

 

Akta Kanak-kanak 2001, Seksyen 31 (2) (b) sebagai contoh akta penderaan menyatakan bahawa jika pesalah difikirkan perlu dan arahan mahkamah untuk mengikuti psikoterapi jika pesalah melakukan penderaan disebabkan masalah kesihatan mental.

 

Adakah penderaan itu hanya dari segi penderaan fizikal?

Menjawab persoalan pertama bahawa penderaan bukan hanya dari segi fizikal namun mempunyai lagi tiga jenis penderaan lain iaitu penderaan emosi, penderaan seksual dan pengabaian.

 

Takrifan bagi jenis-jenis penderaan ini adalah menurut Akta Kanak-Kanak 2001 di mana penderaan fizikal bermaksud keadaan di mana kanak-kanak dicederakan dari segi fizikal yang dilihat pada mana-mana bahagian tubuh mereka.

 

Definisi penderaan yang seterusnya ialah penderaan emosi iaitu kanak-kanak yang dicederakan dari segi emosi dan mental mereka yang boleh dilihat perubahan fungsi mental dan emosi kanak-kanak tersebut.


 

parafrasa

 


Jenis penderaan ketiga ialah penderaan seksual kanak-kanak bermaksud mereka yang teraniaya dari segi seks termasuk paksaan melihat, mencabuli kehormatan mereka dan melakukan aktiviti berunsur seks oleh mana-mana pihak yang bernafsu.

 

Pengabaian juga termasuk dalam penderaan ialah pengabaian terhadap penjagaan keperluan asas kanak-kanak seperti keselamatan, pendidikan dan sebagainya kerana ia adalah kesalahan jika kebajikan kanak-kanak itu tidak dijaga.

 

Isu penderaan ini tidak lekang didengari oleh masyarakat setempat kerana ianya berlaku di mana-mana sahaja termasuk di negara Malaysia juga.

 

Keratan akhbar dari Sinar Harian pada April tahun 2019 merujuk data SCAN pasukan penderaan dan pengabaian kanak-kanak yang disyaki kes penderaan seksual kanak-kanak sebanyak 1,291 kes.

 

Isu ini berlaku di Kuala Terengganu dan Pengarah Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, Kementerian Kesihatan Dr Faridah menganalisis bahawa jumlah di negeri itu lebih satu pertiga kes penderaan yang direkodkan.

 

Negeri Selangor pula iaitu di Shah Alam heboh dengan isu penderaan kanak-kanak sindrom down yang dikenali sebagai Bella telah melibatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk bertanggungjawab menyiasat Rumah Bonda untuk mendapatkan keadilan untuk Bella.


 

parafrasa

 


Tambahan pula, kes penderaan ini juga telah menarik perhatian isteri kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim iaitu Che’ Puan Khaleeda Bustamam mengenai pengasuh mengasari dua bayi taska swasta di Mutiara Rini, Johor.

 

Mengapa penderaan kanak-kanak ini berlaku?

Rencana ini telah membahagikan faktor berlaku penderaan kepada tiga kategori iaitu berpunca daripada pendera atau ibu bapa, mangsa atau kanak-kanak sendiri dan berpunca daripada sebab yang tidak diketahui.

 

Penderaan oleh ibu bapa terhadap kanak-kanak adalah berpunca daripada faktor perbalahan keluarga, kaki judi serta penagih malahan kategori pendera juga termasuk penderaan mengalami masalah mental, kewangan dan sebagainya.

 

Ibu bapa banyak melakukan penderaan kepada kanak-kanak dengan kegagalan mereka sebagai penjaga untuk menyediakan kemudahan perubatan, kasih sayang dan selainnya.

 

Kategori yang berikutnya adalah berpunca daripada mangsa atau kanak-kanak yang merupakan anak angkat atau anak tiri, hiper aktif, kanak-kanak yang mempunyai kecacatan dan sebagainya.

 

Kategori kes penderaan yang berpunca daripada lain-lain faktor adalah berpunca daripada faktor-faktor yang lain dan tidak diketahui. Secara rasionalnya faktor lain berlaku penderaan adalah jika kanak-kanak itu dibiarkan berseorangan (termasuk diabaikan) tanpa pengawasan boleh membahayakan diri contohnya mereka bermain alatan tajam yang boleh menyebabkan kematian.

 

Masyarakat yang tidak cakna mengenai isu penderaan ini akan mengambil ringan perkara ini berlaku kerana golongan ini tidak mengetahui penderaan ini memberi kesan yang negatif kepada mangsa.


 

parafrasa

 


Penderaan fizikal kebanyakan berlaku terhadap kanak-kanak telah mewujudkan tanda pada anggota badan mereka seperti lebam, bengkak dan lain-lain sehingga menyebabkan mangsa kesakitan atau boleh cacat.

 

Penderaan ini memberi impak dalam proses pembesaran kanak-kanak kerana terdedah dengan perkara yang memberikan tekanan kepada mereka sehingga menyebabkan tekanan otak dan kurang penyesuaian diri.

 

Selain itu, pendera tidak mengetahui mangsa akan mengalami masalah dari segi psikologi mereka kerana kanak-kanak yang menderita akan hilang kepercayaan diri, gemar menyendiri dan mengalami kemurungan.

 

Seseorang kanak-kanak itu dianggap dicederakan dari segi emosi mereka jika dapat lihat berlakunya gangguan yang substansial, kecelaruaan mental atau tingkah laku, kemurungan dan sebagainya mengikut Akta Kanak-kanak 2001, seksyen 17 (2) (b).

 

Usaha untuk menangani isu penderaan ini perlulah diambil cakna oleh semua pihak terutamanya badan berautoriti harus bekerjasama agar angka penderaan pada saban tahun tidak terus meningkat.

 

Aspek undang-undang terhadap pendera kanak-kanak itu sendiri adalah tegas kerana wujudnya mahkamah jenayah khas kanak-kanak untuk membela Nasib mereka ini.

 

Tetapi penambahbaikan diperlukan untuk menjalankan perbicaraan dan penghakiman bagi kes penderaan kanak-kanak ini. Contoh kesalahan dalam kes ini adalah kes Mohammad Rieful Rizalmey, beliau mendera anak perempuan tirinya dengan mencurahkan air panas sehingga melecur dan pesalah telah disabitkan dengan 2 tahun penjara dan 2 kali sebatan mengikut undang-undang.


 

parafrasa

 


Selain itu, usaha menangani penderaan ini adalah dengan memberikan rawatan psikologi untuk membantu ibu bapa mengatasi masalah kesihatan mental mereka agar kanak-kanak tidak terus menjadi mangsa penderaan.

 

Media massa kini yang makin meluas juga berperanan dalam meneruskan kempen kesedaran kepada masyarakat terhadap masalah penderaan kanak-kanak ini yang berlaku dalam negara.

 

Di samping itu, secara realiti Malaysia pada hari ini semakin hangat di berita mengenai kes penderaan kanak-kanak oleh ibu bapa sendiri banyak dilaporkan.

 

Dalam kes Junaidi Bambang, hukuman gantung telah dijatuhkan kepada seorang bapa kerana disabitkan kesalahan membunuh tiga orang anaknya dengan mencekik sehingga mati.

 

Ibu bapa wajar sedar akan tanggungjawab mereka bagi mengawal tindakan amalan negatif yang bertentangan dengan agama dalam kehidupan mereka untuk membendung isu ini.

 

Hal ini kerana sifat tanggungjawab itu akan mendidik ibu bapa mengetahui peranan mereka sebagai penjaga untuk memenuhi hak asas kanak-kanak dan mengelakkan penderaan berlaku dalam keluarga mereka.

 

Kanak-kanak sewajarnya dididik dengan penuh kasih sayang dan baik oleh ibu bapa mereka kerana pembelajaran pertama mereka bermula dari rumah lagi. Hal ini dapat menjamin kanak-kanak membesar dan berkembang sebagai individu yang menyumbangkan bakti mereka kepada bangsa, agama dan negara.

 

Perkara ini disoroti dalam Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) bahawa kanak-kanak berhak mendapat perlindungan dan bantuan dalam segala hal serta dalam konteks perundangan pula melindungi kanak-kanak daripada sebarang perlakuan keganasan.


 

parafrasa

 


Secara hakikatnya, negara yang maju adalah lahirnya individu yang berwawasan iaitu terbentuknya kanak-kanak yang akan menjadi aset negara dalam menentukan corak pembangunan negara pada masa hadapan.

 

Kesimpulannya, undang-undang isu ini di Malaysia telah pun dikhususkan untuk memberi perlindungan kepada kanak-kanak, jadi kesemua pihak perlulah bekerjasama dalam menyokong mana-mana pihak untuk membanteras penderaan ini terus meluas. – DagangNews.com

 

Solehah Nuraqilah Mohd Fadzir dan Velan Kunjuraman adalah mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia