MEDAC bakal bangunkan Pelan Usahawan Informal - Wan Junaidi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MEDAC bakal bangunkan Pelan Usahawan Informal - Wan Junaidi

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 30 April - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) bakal membangunkan Pelan Usahawan Informal sebagai rangka tindakan untuk mentransformasi usahawan informal termasuk mereka yang berada di pedalaman Sabah dan Sarawak. 

 

Ini sebagai menyahut seruan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang pada masa ini menumpukan pelbagai usaha pemulihan ekonomi bermula daripada peringkat akar umbi, jelas menterinya, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

 

Katanya, usaha pemulihan juga akan ditumpukan kepada usahawan mikro dan informal yang terjejas di seluruh negara. 

 

“Berdasarkan kaji selidik yang dilaksanakan oleh MEDAC baru-baru ini, sebanyak 52.7% usahawan yang majoritinya adalah perusahaan mikro dan informal, terjejas teruk sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini. 

 

Terdahulu, Majlis Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil Sederhana (MPUPK) yang dipengerusikan oleh Muhyiddin telah bermesyuarat di Putrajaya pada hari ini. 

 

Kata Wan Junaidi, pada mesyuarat berkenaan, Muhyiddin menekankan pentingnya semua pihak untuk mengambil tindakan proaktif dalam memastikan semua program dan inisiatif di bawah pakej rangsangan ekonomi yang telah diumumkan oleh kerajaan dilaksanakan secara teratur dan mengikut jadual. 

 

Capaian program dan inisiatif pula perlu dipergiatkan ke seluruh pelosok negara bagi memastikan “no one is left behind”, kata beliau lagi. 

 

“Perdana Menteri yakin dengan kerjasama dan sokongan padu semua pihak, usahawan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan akan mampu bangkit semula dan kekal kompetitif dalam mendepani cabaran yang mendatang.

 

“MPUPK turut memberi penelitian terhadap prestasi dan prospek ekonomi Malaysia serta isu dan cabaran yang dihadapi bagi tahun 2021. 

 

“Dalam hal ini, majlis turut menekankan supaya aktiviti dan ekosistem pembiayaan perniagaan dari sektor kewangan perlu lebih kondusif bagi menyokong pemulihan ekonomi negara,” tambah Wan Junaidi. 

 

Sumbangan PKS terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) merekodkan pencapaian sebanyak 38.9% pada tahun 2019 dan dianggarkan kekal di antara 38.1% hingga 38.7% pada tahun 2020. 

 

Sumbangan eksport bagi Barangan dan Perkhidmatan PKS adalah 17.9% manakala sumbangan kepada guna tenaga di Malaysia sebanyak 48.4%. 

 

Namun, prestasi eksport PKS dianggar menurun kepada 13.4% pada tahun 2020, susulan impak negatif pandemik COVID-19 ke atas usahawan dan PKS tempatan, jelas beliau lanjut. 

 

“Selain itu, dasar dan peraturan yang mesra perniagaan perlu diutamakan supaya ia selari dengan usaha kerajaan untuk memulihkan operasi perniagaan usahawan. 

 

“Di samping itu, usahawan juga perlu bersedia untuk mengadaptasi teknologi dan digitalisasi supaya dapat kekal relevan dan kompetitif dalam menangani cabaran di masa hadapan,” ujarnya lagi. 

 

MPUPK berperanan meluluskan dasar, strategi dan pelan tindakan berhubung pembangunan holistik usahawan dan PKS merentasi semua sektor ekonomi. 

 

Melalui MPUPK, penglibatan sektor swasta akan dipertingkatkan bagi menyokong agenda pembangunan keusahawanan negara yang berdaya saing dan mampan. - DagangNews.com