MEASAT dilantik Perdana Petroleum sediakan akses jalur lebar di atas kapal luar pesisir | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MEASAT dilantik Perdana Petroleum sediakan akses jalur lebar di atas kapal luar pesisir

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 5 April - MEASAT Global Bhd telah memperoleh kontrak dengan Intra Oil Services Bhd, anak syarikat Perdana Petroleum Bhd untuk menyediakan akses jalur lebar untuk kapal sokongan luar pesisir yang memberi perkhidmatan kepada industri minyak dan gas (O&G) huluan.

 

Dalam satu kenyataan hari ini, penyedia penyelesaian satelit utama Malaysia itu berkata pihaknya akan menyediakan Perkhidmatan Jalur Lebar Terurus Mobiliti untuk akses jalur lebar dan talian telefon sambungan suara melalui protokol Internet (VoIP), meliputi sehingga 50% daripada armada yang dikendalikan oleh Intra Oil Services.

 

Kapal-kapal itu akan mendapat manfaat daripada sambungan jalur lebar yang didayakan dengan antena panel rata inovatif dan digerakkan secara elektronik, walaupun dalam pergerakan.

 

Penggunaan ini meningkatkan kecekapan pemasangan dan penyelenggaraan, di samping menyediakan sambungan jalur lebar satelit yang mantap kepada kru kapal.

 

Perkhidmatan itu dijangka dapat meningkatkan komunikasi dan keupayaan operasi kapal-kapal tersebut yang berada di kawasan perairan Malaysia.

 

Ketua Pegawai Komersial MEASAT, Ganendra Selvaraj berkata kontrak itu mengukuhkan kedudukan kumpulan sebagai penyedia penyelesaian satelit pilihan Malaysia bagi menawarkan rangkaian perkhidmatan teguh dan serba boleh yang memenuhi pelbagai industri.

 

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Petroleum kerana meletakkan kepercayaan terhadap keupayaan MEASAT untuk memenuhi keperluan misi kritikal mereka dalam industri minyak dan gas yang mencabar dan mencabar,” katanya dalam kenyataan tersebut.

 

Sementata itu, Pengarah Urusan Perdana Petroleum, Jamalludin Obeng mengulas bahawa pihaknya kagum dengan rangkaian perkhidmatan dan tahap sokongan MEASAT tawarkan dan nilai yang disediakan.

 

“Perdana Petroleum berbangga dengan kecemerlangan perkhidmatan dan sokongan disediakan kepada pelanggan dan yakin MEASAT adalah rakan kongsi yang sesuai dalam usaha kami mengembangkan perniagaan dalam sektor yang mencabar ini,” tambah beliau yang mengharapkan hubungan tersebut membuahkan hasil.

 

Perkhidmatan Lebar Jalur Terurus Mobiliti tersebut tersedia di seluruh kumpulan satelit MEASAT dan sesuai untuk komunikasi ketika bergerak atau berhenti seketika.

 

Perkhidmatan ini membolehkan pelanggan mengekalkan tumpuan pada aktiviti perniagaan teras mereka di samping meninggalkan penyelesaian ketersambungan untuk diuruskan oleh MEASAT justeru menambah baik kos operasi dan mengurangkan risiko pelaburan. -DagangNews.com