MDDA rai ulang tahun ke-30 kecemerlangan industri jualan langsung | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MDDA rai ulang tahun ke-30 kecemerlangan industri jualan langsung

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 13 Julai - Persatuan Edaran Terus Malaysia (MDDA) meraikan ulang tahun ke-30 dengan menganjurkan Majlis Makan Malam Gala yang diadakan di sebuah hotel di ibu negara, baru-baru ini.

 

Majlis tersebut dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Mohd Yusof dan  turut dihadiri pemain industri jualan langsung dan wakil persatuan-persatuan jualan langsung serantau.

 

Azman berkata, MDDA menggalas tugas penting dalam industri jualan langsung Malaysia dalam memainkan peranan penting dalam pertumbuhan dan pembangunannya.

 

Katanya, melalui program latihan yang meluas dan platform perkongsian ilmu, MDDA memperkasakan individu dan perniagaan, memupuk inovasi dan meningkatkan kemahiran ramai pemain industri jualan langsung. 

 

"Komitmen MDDA terhadap profesionalisme, pematuhan kepada standard yang tinggi, dan usaha dalam mempromosikan amalan etika dan ketelusan meningkatkan reputasi industri. 

 

"Walaupun di tengah-tengah cabaran pandemik COVID-19, industri jualan langsung di Malaysia menunjukkan daya tahan," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Presiden MDDA, Datuk Seri Dr Barani Karunakaran berkata, persatuan itu memulakan langkah untuk menjadi persatuan jualan langsung terbaik di negara ini, dengan meletakkan sasarannya bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia di pentas global industri jualan langsung. 

 

Beliau berkata, pelan MDDA sejajar dengan lonjakan jualan industri jualan langsung di Malaysia yang bernilai RM25 bilion pada tahun 2020 dan RM27 billion pada 2021 yang menandakan peralihan strategik ke arah model perniagaan yang semakin berkembang ini di peringkat global. 

 

"Inisiatif ini dijangka menjana manfaat ekonomi yang besar, meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menggalakkan pertumbuhan keusahawanan, dan mewujudkan peluang pekerjaan serantau yang penting," katanya.

 

 

MDDA

 

 

Pada majlis itu, turut diadakan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) persatuan serantau antara MDDA, AP2LI Indonesia dan FDSA India. MoU itu menandakan usaha kerjasama untuk mengukuhkan industri jualan langsung di seluruh rantau ini. 

 

Sejak ditubuhkan pada 1993, MDDA berkembang bersama 105 syarikat ahli, memupuk hubungan rapat dengan KPDN dalam menangani cabaran industri. 

 

Persatuan itu secara aktif terlibat dalam meminda Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993 dan menyelesaikan penjualan dan tanda harga tanpa kebenaran di platform pihak ketiga. 

 

MDDA juga sentiasa bekerjasama dengan pasukan penguat kuasa KPDN dalam membasmi isu-isu dalam industri jualan langsung seperti skim cepat kaya, ‘Money Game’ dan skim piramid dengan mendidik orang ramai melalui siri 'Straight Talk MDDA' dalam Bahasa Kebangsaan, Bahasa Inggeris dan Mandarin. - DagangNews.com