MCMC, PDRM panggil pengurusan TikTok berhubung 3 klip video berbaur provokasi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MCMC, PDRM panggil pengurusan TikTok berhubung 3 klip video berbaur provokasi

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 1 Dis - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memanggil pihak pengurusan TikTok untuk tampil memberikan penjelasan berhubung penularan tiga klip video berbaur provokasi yang tersebar mengenai amaran rusuhan 13 Mei 1969. 

 

MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan, penyebaran kandungan berbaur provokasi itu dengan niat mencetuskan ketidakharmonian, kebencian, prejudis dan perasaan orang lain adalah satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dikenakan hukuman denda atau penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

 

"Sebarang penyebaran kandungan video sedemikian merupakan satu perbuatan tidak bertanggungjawab yang dikhuatiri boleh menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan, perasaan kebencian mahupun prejudis dalam hal-ehwal berkaitan dengan agama dan kaum," katanya.

 

Menurutnya, MCMC terus memantau penyebaran klip video tersebut serta pendedahan sebuah portal berita yang mana tiga klip video itu merupakan kandungan berbayar. 

 

"MCMC dan PDRM akan mempertingkat usaha untuk mengekang penyebaran video sedemikian yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam," katanya. - DagangNews.com

 

Dalam pada masa yang sama, bagi memastikan kandungan-kandungan ini tidak disebarluaskan. Sila ambil langkah berikut:

 


1. Jangan kongsi dan sebar

 


2. Jangan panjangkan kandungan tersebut ke platform media sosial yang lain

 


3. Laporkan kepada pihak berkuasa sekiranya menerima kandungan berbaur hasutan, provokasi ataupun menghina agama, institusi raja dan perkauman, segera laporkan segera kepada MCMC melalui: 

 

 

  • Portal Aduan MCMC di pautan https://aduan.skmm.gov.my/

 

  • Talian aduan: 1800-188-030

 

  • WhatsApp di 016 2206 262

 

 

  • Menyalurkan maklumat atau melaporkan berita palsu melalui pautan https://sebenarnya.my/salur/