MCMC larang orang ramai muat turun aplikasi Pink WhatsApp untuk elak digodam | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MCMC larang orang ramai muat turun aplikasi Pink WhatsApp untuk elak digodam

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 Jun - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menasihatkan orang ramai agar berwaspada apabila menerima jemputan untuk menyertai atau memuat turun aplikasi hasad 'Pink WhatsApp'. 

 

MCMC memaklumkan, aplikasi berkenaan kononnya menawarkan ciri keselamatan serta privasi yang lebih baik, antara muka yang boleh diubah suai, serta keupayaan untuk menghantar fail lebih besar berbanding aplikasi WhatsApp yang biasa digunakan. 

 

Bagaimanapun katanya, selepas pemasangan, aplikasi berkenaan boleh mengakses pelbagai item dalam telefon pintar pengguna seperti gambar, SMS dan senarai kenalan, yang boleh membawa kepada risiko keselamatan yang serius.

 

"Para pengguna akan menerima mesej dan pautan seolah-olah datang daripada WhatsApp yang mengajak pengguna untuk mencuba aplikasi baharu tersebut. 

 

"MCMC menasihatkan pengguna untuk tidak memuat turun dan memasang aplikasi Pink WhatsApp tersebut, dan segera membuang aplikasi berkenaan sekiranya ia telah dipasang dalam telefon pintar mereka," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

MCMC mengesyorkan pengguna hanya memuat turun aplikasi mudah alih daripada gedung aplikasi rasmi seperti Apple App Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery.

 

Katanya, pengguna juga diminta untuk tidak menyebarluaskan sebarang pautan yang mencurigakan. 

 

"MCMC ingin menekankan kepentingan untuk berhati-hati ketika menggunakan aplikasi mudah alih, mengambil langkah-langkah pencegahan untuk melindungi maklumat peribadi, serta mengelak daripada memuat turun aplikasi hasad," katanya.

 

Para pengguna disarankan untuk kekal berwaspada dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan dengan Pink WhatsApp kepada portal Aduan MCMC di pautan https://aduan.mcmc.gov.my/#/public/main atau talian hotline aduan di 1800-188-030. - DagangNews.com