MCE Holdings raih kontrak bekal alat ganti kereta Proton, bakal jana hasil RM55.19 juta | DagangNews Skip to main content

MCE Holdings raih kontrak bekal alat ganti kereta Proton, bakal jana hasil RM55.19 juta

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 26 Mac - MCE Holdings Berhad (MCE) meraih kontrak membekalkan peralatan elektronik dan mekatronik untuk model kereta Proton yang bakal menjana hasil bernilai RM55.19 juta.

 

Menurut MCE, kontrak untuk tempoh 84 bulan itu diraih anak syarikatnya, Multi-Code Electronics Industries (M) Berhad.

 

"Pembekalan alat ganti ini dijangka bermula pada suku kedua tahun kewangan berakhir 31 Julai 2025 untuk tempoh 84 bulan. 

 

"Projek ini dijangka menjana jumlah hasil kira-kira RM55.19 juta untuk Kumpulan MCE dalam tempoh 84 bulan manakala anggaran jumlah kos pelaburan ialah RM0.65 juta," katanya dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

Dalam pemakluman itu, MCE berkata, projek ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan Kumpulan MCE dalam tempoh 84 bulan bermula dari tahun kewangan berakhir 31 Julai 2025.

 

"Tiada pemegang saham utama MCE atau orang yang berkaitan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan, secara langsung atau tidak langsung dalam Projek," katanya.

 

Para Pengarah MCE berpendapat bahawa perkara di atas adalah demi kepentingan Kumpulan MCE. - DagangNews.com