KUALA LUMPUR 26 Sept - McDonald’s Malaysia akan memperuntukkan lebih RM10 juta untuk program pembangunan bakat dan kemahiran melibatkan seluruh warga kerjanya di pelbagai peringkat jawatan, bagi memastikan kualiti perkhidmatan restoran makanan segera itu sentiasa berada di tahap terbaik.
Pada masa sama, sebanyak 500 restoran McDonald’s akan dibuka di seluruh negara dengan jangkaan lebih 50,000 peluang pekerjaan, termasuk lebih 10,000 perantis baharu di bawah Program Perantis Vokasional McDonald’s, menjelang 2026.
Terdahulu, seramai 427 graduan berjaya menamatkan latihan di bawah Program Perantis Vokasional McDonald’s pada Majlis Konvokesyen Akademi Vokasional McDonald’s kali ke-4 yang diadakan hari ini di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam.
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, beliau menyifatkan para graduan berkenaan sebagai penyambung legasi kecemerlangan McDonald’s yang sangat mengutamakan kualiti dalam segenap aspek.
Katanya, seiring agenda nasional, Program Perantis Vokasional McDonald’s merupakan inisiatif pihaknya bagi memperkasa belia di negara ini, selain mewujudkan tenaga kerja mampan dan berkemahiran tinggi dalam bidang perkhidmatan makanan.
"Ia juga merupakan cara kami menyumbang kepada masyarakat dengan menyediakan peluang pendidikan dan kerjaya kepada mereka yang memerlukan, sekali gus mengukuhkan ekonomi negara," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Menurut Azmir, sejak pertama kali diperkenalkan pada 2018, lebih 95% belia yang tamat program itu memilih untuk membina kerjaya di McDonald’s.
"Ramai antara mereka telahpun berjaya meningkat naik sebagai salah seorang pemimpin di restoran masing-masing, dan saya yakin lebih banyak kejayaan besar boleh dicapai seiring dengan pengalaman dan kesungguhan mereka," katanya.
Program Perantis Vokasional McDonald’s mengambil masa selama 18 bulan, yang menggabungkan 70% latihan praktikal di restoran McDonald’s dan 30% pembelajaran teori di dalam kelas.
Program ini diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia (KSM) di bawah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN).
Sebaik sahaja tamat program, belia akan menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3, dan boleh memilih untuk bekerja di McDonald’s atau mana-mana syarikat perkhidmatan makanan di negara ini.
Dalam pada itu, lebih 4,000 belia mengikuti program tersebut sejak ia diperkenalkan pada 2018. Belia yang menyertai program ini ditaja sepenuhnya oleh McDonald’s melibatkan yuran pengajian, elaun bulanan, tempat tinggal, makan minum, insurans dan faedah perubatan.
Selain itu, mereka turut menerima manfaat perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), melibatkan sekitar RM40,000 untuk seorang perantis sepanjang mengikuti program ini.
Selain Program Perantis Vokasional McDonald’s, restoran khidmat segera ini juga mempunyai inisiatif pembangunan bakat lain seperti Program Perantis Pengurusan (MAP), Program Kebolehpasaran Kerja Graduan (GEP), Program Internship (IP), khusus untuk pelajar-pelajar dan graduan universiti. - DagangNews.com