BANTING 28 Mac - McDonald's Malaysia hari ini membayar zakat perniagaan 2022 berjumlah RM600,000 kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) sekali gus merupakan jumlah pembayaran tertinggi sejak 2017.
McDonald's Malaysia membayar zakat perniagaan bermula enam tahun lepas sejak syarikat itu diambil alih Lionhorn Pte Ltd, sebuah anak syarikat Kumpulan Reza dari Arab Saudi.
Naib Presiden Sumber Manusia dan Pengerusi Jawatankuasa Halal Dalaman McDonald's Malaysia, Azhar Darbi berkata, menyumbang kembali kepada masyarakat yang memerlukan adalah nilai teras pihaknya, sama ada melalui program tanggungjawab sosial korporat mahupun melalui sumbangan zakat.
"Oleh itu, sumbangan kami pada hari ini amat bermakna di mana kami mampu menyumbang zakat sebanyak RM600,000 bagi membantu komuniti yang amat memerlukannya, khususnya golongan yang terjejas akibat banjir di daerah Banting, Selangor,” katanya ketika majlis penyerahan zakat perniagaan tersebut di McDonald’s cawangan Banting di sini.
Terdahulu, McDonald’s Malaysia turut menyerahkan sumbangan wakalah agihan zakat bernilai RM500 dalam bentuk wang tunai dan baucar kepada 50 keluarga terpilih di Kuala Langat dan Banting yang terjejas banjir akhir tahun lepas.
Azhar berkata, setakat tahun 2021, McDonald's Malaysia telah membayar zakat perniagaan sebanyak RM9.85 juta untuk negeri-negeri di seluruh Malaysia.
“McDonald's Malaysia juga merupakan antara pembayar zakat perniagaan tertinggi bagi negeri Selangor,” katanya.
Sementara itu, Ketua Divisyen Kutipan LZS, Muhd Fikri Naim Harun berkata, pihaknya amat mengharapkan sumbangan berterusan daripada syarikat korporat seperti McDonald's Malaysia demi menyantuni kelangsungan asnaf di Selangor.
“Lebih-lebih lagi jumlah keluarga asnaf fakir dan miskin dijangka meningkat kesan daripada situasi ekonomi sekarang. Ini bermakna keperluan agihan zakat juga akan turut meningkat seiring dengan pertambahan asnaf di Selangor," katanya. - DagangNews.com







