MBSB sasar pertumbuhan pembiayaan sebanyak 8% hingga 10% menjelang akhir tahun ini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MBSB sasar pertumbuhan pembiayaan sebanyak 8% hingga 10% menjelang akhir tahun ini

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB, Datuk Nor Azam M. Taib menjawab persoalan dalam sidang media Mesyuarat Agung Tahunan ke-53 di Menara MBSB Petaling Jaya di sini hari ini. Foto : Naim Aziz / DagangNews
Oleh DIYANA ISAMUDIN

PETALING JAYA 27 Jun - Malaysia Building Society Berhad (MBSB)  menyasarkan pertumbuhan pembiayaan antara 8% hingga 10% menjelang akhir tahun ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB, Datuk Nor Azam M. Taib berkata bank itu sedang berusaha untuk memperkenalkan Fasiliti Sokongan Akaun 2 Fasa 2 (FSA Fasa 2) tahun ini.

 

“MBSB Bank telah meluluskan Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sekitar RM970 juta,” katanya kepada media selepas Mesyuarat Agung Tahun ke-53 hari ini.

 

Mengulas mengenai prestasi tahun kewangan 2022 (FY22), beliau berkata Jumlah Pulangan Pemegang Saham (TSR) adalah pada 20.6%, dan Ekuiti Biasa Tahap-1 pada 21.9% yang menandakan kestabilan kewangan dan peluang pertumbuhan masa hadapan.

 

Menurut beliau, kumpulan itu akan terus melaksanakan strategi serampang empat mata, termasuk memberi tumpuan kepada bidang pertumbuhan baharu, penyelesaian inovatif, kerjasama strategik dan pengurusan kunci kira-kira.

 

"Kami sedang mengkaji untuk meningkatkan bahagian pasaran kami dalam pembiayaan korporat dan hartanah serta mengembangkan bertapak dalam bidang pertanian dan pembuatan makanan serta meningkatkan pembiayaan kami menjelang akhir tahun,” tambahnya.

 

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB, Datuk Nor Azam M. Taib diapit Ketua Pegawai Strategi, Datuk Azlan Shahrim (kiri) dan Ketua Pegawai Kewangan, Ramanathan Rajoo memegang buku laporan tahunan 2022 selepas sesi sidang media Mesyuarat Agung Tahunan ke-53 di Menara MBSB Petaling Jaya di sini hari ini. Foto : Naim Aziz / DagangNew
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB, Datuk Nor Azam  M. Taib bersama Ketua Pegawai Strategi, Datuk Azlan Shahrim (kiri) dan Ketua Pegawai Kewangan, Ramanathan Rajoo memegang buku laporan tahunan 2022 selepas sesi sidang media Mesyuarat Agung Tahunan ke-53 di Menara MBSB Petaling Jaya di sini hari ini. Foto : Naim Aziz / DagangNews

 

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan MBSB, Ramanathan Rajoo berkata pinjaman tidak berbayar (NPL) pada masa pada 6.7% dan mereka menyasarkan untuk mengurangkannya di bawah 4% tahun ini.

 

Baru-baru ini, MBSB mengumumkan bahawa ia akan menjadi syarikat induk kumpulan yang diperbesarkan selepas selesai cadangan pengambilalihan Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF).

 

Mengulas perkara tersebut, Ketua Pegawai Strategi MBSB, Datuk Azlan Shahrim berkata cadangan penggabungan tersebut menunggu kelulusan daripada pemegang saham, dijadualkan pada Julai atau Ogos.

 

Pada tahun 2022, MBSB telah mencapai kejayaan apabila ia diklasifikasikan sebagai Keselamatan Patuh Syariah oleh Suruhanjaya Sekuriti dan dimasukkan ke dalam Indeks Syariah FTSE4Good.

 

Selain itu, Kumpulan turut diiktiraf oleh pemain industri, di mana ia menerima Anugerah Tadbir Urus Korporat ASEAN MSWG untuk Pendedahan Tadbir Urus Korporat dan Pengiktirafan Tindakan Pembangunan Mampan Perintis 2022 daripada Rangkaian Global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Malaysia & Brunei (UNGCMYB). - DagangNews.com