KUALA LUMPUR 20 Dis - MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) diiktiraf sebagai Bank Pembiayaan Perdagangan Terbaik Malaysia 2023 dan Aplikasi Perbankan Mudah Alih Terbaik untuk Pembiayaan Perdagangan Malaysia 2023 daripada Anugerah Perbankan dan Kewangan Global 2023.
MBSB Bank menerima anugerah itu di atas komitmennya dalam menyediakan rumusan digital penting bagi memenuhi keperluan pelanggan.
Bank itu membuktikan bahawa aplikasi perbankan mudah alihnya iaitu M TRADE menyediakan pengalaman pelanggan yang lebih baik selain menghasilkan kecekapan kos serta meningkatkan prestasi perniagaan secara keseluruhan.
Dengan menggunakan cap jari serta pengenalan muka, aplikasi mudah alih M TRADE memastikan maklumat pemilik perniagaan kekal terjaga rapi.

Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Bank, Datuk Nor Azam M. Taib berkata, pihaknya bersyukur menerima pengiktirafan tersebut dan ia merupakan bukti dedikasi mereka dalam memperjuangkan kecemerlangan dalam apa juga yang dilakukan.
"M TRADE bukan sahaja menyediakan kemudahan kepada pelanggan kami dalam menguruskan perniagaan selain menyediakan persekitaran yang menyaksikan pelanggan menerima sokongan dengan baik yang membawa kepada transaksi lebih lancar.

"Meningkatkan perniagaan pembiayaan perdagangan melalui M TRADE boleh membawa manfaat yang ketara dari segi kebolehcapaian, kecekapan dan kemudahan transaksi perdagangan dengan menyediakan pembiayaan, mitigasi risiko dan pelbagai perkhidmatan kepada pengimport, pengeksport serta pihak lain yang terlibat dalam rantaian bekalan dengan komunikasi yang lebih baik," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Aplikasi M TRADE boleh dimuat turun dari Apple App Store dan Google Play Store. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai produk dan perkhidmatan MBSB Bank, lawati www.mbsbbank.com. - DagangNews.com








