KUALA LUMPUR 11 Julai - Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengunjurkan pemian industri tenaga boleh diperbaharui (RE) tempatan menikmati margin keuntungan kasar lebih baik selepas kerajaan mengumumkan penarikan balik larangan eksport RE pada Mei lalu.
Firma itu berkata, kajian semula dasar itu bertujuan untuk mempercepatkan pertumbuhan ekonomi hijau Malaysia.
Katanya, walaupun butiran khusus berhubung mekanisme itu masih belum diumumkan tetapi ia dijangka didedahkan pada Ogos atau September tahun ini.
“Pada masa ini, Singapura menyasarkan empat gigawatt (GW) kapasiti import RE menjelang 2035.
"Singapura mempunyai purata tarif elektrik isi rumah terkawal yang lebih tinggi daripada Malaysia, kami percaya ini boleh diterjemahkan kepada margin keuntungan kasar yang lebih baik untuk pemain RE tempatan.
"Ini seterusnya juga akan memberi insentif kepada pemain RE untuk meneroka projek sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS), yang tidak berdaya maju mengikut tarif tempatan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' terhadap Solarvest Holdings Berhad dan Cypark Resources Berhad, dan penarafan "beli" untuk YTL Power International Berhad yang berada pada kedudukan yang baik untuk eksport RE.
Firma itu berkata, Suruhanjaya Tenaga telah menetapkan had kapasiti maksimum pemohon di antara lima megawatt (MW) dan 30MW setiap satu di bawah Program Kuasa Hijau Korporat, dengan aset tenaga suria dijangka beroperasi menjelang akhir 2025.
Tarikh permohonan bermula 9 Mei dan akan diteruskan sehingga akhir 2023 atau sehingga semua kuota telah diambil sepenuhnya.
"Program ini memberi peluang kepada pengeluar tenaga solar untuk memiliki aset solar baharu atau menambah buku pesanan EPCC solar mereka.
"Kami difahamkan bahawa kontrak itu dijangka diberikan mulai Julai atau Ogos 2023 dan seterusnya," katanya.- DagangNews.com








