Maybank IB unjur keuntungan operasi sektor perbankan meningkat sebanyak 6.3% pada 2024 didorong pertumbuhan pinjaman domestik | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Maybank IB unjur keuntungan operasi sektor perbankan meningkat sebanyak 6.3% pada 2024 didorong pertumbuhan pinjaman domestik

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Mac - Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengunjurkan keuntungan operasi sektor perbankan meningkat sebanyak 6.3% pada 2024 didorong beberapa faktor termasuk pertumbuhan pinjaman domestik sebanyak 5.1%.

 

Katanya, ia juga dibantu oleh margin faedah bersih (NIM) yang stabil dan nisbah kos kepada pendapatan (CIR) sebanyak 44.4% berbanding 44.9% pada tahun lalu.


"Kami mengunjurkan pertumbuhan keuntungan bersih teras sebanyak 5.5%, pada purata kos kredit agregat yang lebih tinggi sebanyak 24bps berbanding 23bps pada 2023.

 

"Menjelang 2025, kami meramalkan pertumbuhan keuntungan operasi sebanyak 5.1% dan pertumbuhan keuntungan bersih teras sebanyak 5.6%," katanya dalam satu n ota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, keputusan bank-bank pada 2023 agak lemah dengan keuntungan sebelum cukai agregat hanya naik 3% dari tahun ke tahun

 

Bagaimanapun, pertumbuhan operasi pada 2024 diunjur meningkat dan untung bersih juga naik sebanyak 5.5%.

 

"Kami juga mengunjurkan pulangan atas ekuiti (ROE) yang lebih baik sebanyak 10.2% dan purata dividen menarik sebanyak 5.5%," katanya.

 

Frima penyelidikan itu berkata, pertumbuhan akaun simpanan akaun semasa (Casa) industri bertukar positif, tetapi dengan panduan pertumbuhan pinjaman yang masih kukuh daripada bank.

 

Ia ditambah kemungkinan persaingan deposit daripada lima bank digital yang dijangka memulakan operasi menjelang April 2024, kos pendanaan masih boleh berada di bawah tekanan.

 

Maybank IB kekal positif terhadap sektor perbankan. - DagangNews.com