KUALA LUMPUR 12 Mei - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menurunkan unjuran keuntungan bersih Sentral REIT FY23, 24 dan 25 masing-masing sebanyak 2.2%, 2.2% dan 2.1%, selepas melaraskan kos faedah yang lebih tinggi.
Firma penyelidikan itu berkata keuntungan bersih Sentral Real Estate Investment Trust (REIT) pada suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23) merangkumi 24% daripada anggaran firma dan konsensus.
Sentral REIT telah mencatatkan penurunan untung bersih sebanyak 12% tahun ke tahun (YoY) kepada RM17.7 juta dan pendapatan menyusut 4% YoY pada suku pertama 2023 berikutan kekosongan Wisma Technip dan QB2 sejak suku kedua 2022 kerana penyewa utama mereka tidak diperbaharui.
Pendapatan hartanah bersih QoQ bertambah baik dengan peningkatan 5.1% namun diseret oleh kos pembiayaan yang lebih tinggi.
BACA: Pendapatan bersih Sentral REIT susut 13.2% kepada RM17.7 juta pada suku pertama 2023
“Ramalan keuntungan bersih FY23-25 kami masing-masing diturunkan berikutan kami menyelaras untuk kos pembiayaan yang lebih tinggi kepada 4.5% daripada 4.3%,” kata firma itu dalam nota hari ini.
Menurut firma itu, Sentral REIT telah berjaya memperbaharui 42% daripada pajakannya yang perlu diperbaharui pada 1Q23 dengan kadar 99%.
Tambahnya, pengurusan agak yakin dengan pembaharuan baki penyewaan untuk FY23, terutamanya di Platinum Sentral dan Menara Shell, manakala pembiayaan semula seterusnya hanya perlu dibayar pada FY25.
Firma itu berkata strategi REIT itu kekal tertumpu kepada menambah baik penghunian dan mendapatkan penyewa baharu untuk hartanahnya yang kosong.
“Pengurusan menyasarkan untuk mendapatkan beberapa penyewa di Wisma Technip dan QB2 menjelang akhir tahun ini.
Untuk portfolio keseluruhannya, firma itu berkata Sentral REIT tidak menolak peluang pelupusan hartanahnya yang kosong dan ia terus meneroka peluang pengambilalihan akretif hasil.
Firma itu mengekalkan saranan ‘pegang’ dengan harga sasaran (TP) diturunkan kepada 89 sen sesaham. -DagangNews.com








