Maybank IB semak turun unjuran pendapatan Inari bagi FY23-25 akibat segmen optoelektronik, pemulihan ekonomi China lemah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Maybank IB semak turun unjuran pendapatan Inari bagi FY23-25 akibat segmen optoelektronik, pemulihan ekonomi China lemah

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 27 Jun - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menurunkan unjuran pendapatan Inari Amertron Bhd bagi tahun kewangan 2023, 2024 dan 2025 (FY23-25) masing-masing sebanyak sebanyak 14%, 8% dan 11%.

 

Firma penyelidikan itu berkata semak turun tersebut adalah untuk mengambil kira kelemahan segmen optoelektronik berterusan dan ketidakpastian dalam pemulihan ekonomi China.

 

Selain itu, firma itu menurunkan taraf saranan saham Inari kepada ‘pegang’ dengan harga sasaran (TP) pada RM2.75 sesaham disebabkan nisbah ganjaran-risiko kini seimbang.

 

“Walaupun sentimen pasaran dipacu AI positif terhadap teknologi global telah menyaksikan harga saham Inari meningkat 21% sepanjang bulan lalu, sektor teknologi domestik masih menghadapi pelbagai halangan yang berkemungkinan menghalang pertumbuhan hingga 2024,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut firma itu, prospek segmen tersebut suram tahun ini disebabkan permintaan untuk ‘transceiver’ optik berkelajuan tingginya dijangka tidak pulih sehingga separuh pertama tahun depan.

 

Jelasnya, permintaan terjejeas akibat pembetulan inventori seluruh industri berterusan, ditambah pula dengan penangguhan pelancaran 5G global disebabkan keadaan makro yang lemah.

 

Manakala, persediaan barisan pengeluaran untuk memori baharunya berada di landasan untuk disiapkan pada suku pertama berakhir 30 September 2023, manakala untuk pelanggan LED berkuasa tinggi juga sedang berjalan dengan baik, namun, kedua-duanya tidak dijangka memberikan sumbangan ketara dalam jangka pendek.

 

Sementara itu, bagi segmen perniagaan frekuensi radio, Maybank IB berkata ia akan meningkat pada suku keempat namun masih lemah, di mana pengurusan Inari berpendapat bahawa suku semasa boleh menyaksikan peningkatan suku ke suku disebabkan pengeluaran didorong jangkaan pelancaran telefon pintar Apple pada September.

 

“Walaupun pelancaran baharu dijangka mempunyai kandungan RF sekitar 15% lebih tinggi berbanding pendahulunya yang boleh membantu mengurangkan tekanan margin dalam separuh kedua 2023, prospek pasaran telefon pintar global kekal lemah kerana IDC kini meramalkan penguncupan 3.2% tahun ini berbanding unjuran penguncupan 1.1% pada Februari,” ujar firma tersebut.

 

Firma itu berkata ini berpunca terutamanya daripada permintaan China yang lemah, inventori saluran kekal tinggi manakala pembekal di Asia masih belum yakin.

 

Di samping itu, usaha sama kumpulan itu di China dengan Yiwu Semiconductor International Corporation (YSIC) sedang berjalan dengan baik, di mana kilangnya di Yiwu dijadualkan siap pada separuh kedua tahun ini.

 

Pada pukul 10:57 pagi ini, saham Inari susut 6 sen atau 2.2% kepada RM2.65 dengan modal pasarannya bernilai RM9.89 bilion. - DagangNews.com