Maybank IB : Prospek Malaysia dijangka lebih baik pada 2023 dengan ketidaktentuan politik semakin pudar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Maybank IB : Prospek Malaysia dijangka lebih baik pada 2023 dengan ketidaktentuan politik semakin pudar

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 20 Dis - Tahun 2023 akan menjanjikan prospek yang lebih cerah kepada Malaysia di sebalik cabaran persekitaran makroekonomi dan politik sepanjang tahun ini, demikian menurut Maybank Investment Bank (IB). 

 

Meskipun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2023 diunjur lebih rendah pada 4% tetapi dilihat masih utuh dengan situasi terburuk tekanan inflasi dan kadar faedah sudah berlalu. 

 

Pertumbuhan pendapatan FBM KLCI sebaliknya akan meningkat apabila pasaran bergerak melepasi dua faktor yang mengheret turun prestasi pada 2022 iaitu Cukai Makmur dan hasil daripada sektor sarung tangan getah yang merosot.

 

Ini seterusnya dipengaruhi keputusan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) yang menyaksikan pembentukan kerajaan perpaduan dengan majoriti kukuh di Parlimen, diketuai Perdana Menteri yang progresif, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi gambaran kepada tadbir urus yang lebih baik dan mempercepatkan penggubalan dasar.

 

"Lebih penting lagi, pertumbuhan KDNK yang kukuh dan syarikat minyak nasional, Petronas menyediakan ruang pernafasan fiskal yang diperlukan kerajaan baharu untuk membina konsensus bagi menangani gangguan isu seperti penarikan semula subsidi dan cukai yang lebih tinggi.

 

"Oleh itu, secara keseluruhan, kami melihat premium risiko pasaran akan menurun pada 2023, dengan sasaran kami pada 1,660 mata menjelang akhir 2023," katanya dalam laporan strategi prospek 2023, baru-baru ini.

 

 

MOF

 

 

Menurut Maybank IB, walaupun pembukaan semula ekonomi semakin pudar dan kenaikan kadar akan menjejaskan pertumbuhan pada 2023, pengembangan pendapatan pasaran (kecuali sektor sarung tangan getah) diramalkan mengukuh kepada 17.3% apabila Cukai Makmur berakhir.

 

Keuntungan sektor bank juga semakin bertambah baik dan menyaksikan pemulihan yang pantas bagi sektor yang lambat menunjukkan kemajuan seperti kasino dan pengangkutan/penerbangan. 

 

"Pembukaan semula ekonomi China akan merangsang dagangan, pelancongan dan permintaan/harga komoditi. 

 

"Perubahan dasar pertumbuhan/pendapatan negatif yang berkaitan dengan subsidi dan cukai tidak mungkin muncul pada 2023 kerana kerajaan memberi tumpuan kepada isu kos sara hidup, dengan jurang fiskal interim akan dirapatkan dengan membendung ketirisan fiskal dan juga Petronas," jelasnya.

 

Secara dasarnya, pembukaan semula ekonomi sejak suku pertama 2022 telah merangsang pemulihan bagi Malaysia dan rantau ASEAN, didorong pertumbuhan perdagangan, sokongan dasar monetari dan harga komoditi yang tinggi bagi Malaysia dan Indonesia.

 

Walaupun kadar faedah di seluruh rantau ini meningkat, kenaikan itu lebih terkawal daripada pengetatan agresif Rizab Persekutuan AS (Fed), mencerminkan inflasi didorong kos, kesan pengurangan subsidi fiskal terhadap tekanan harga tenaga dan makanan, dan kesediaan untuk dagangan aliran keluar modal atau risiko kelemahan mata wang untuk pertumbuhan ekonomi.

 

 

Anwar Ibrahim

 

 

Pendapatan KLCI kembali pulih dengan kukuh di sebalik pelaksanaan Cukai Makmur dengan pertumbuhan 2022 (kecuali sarung tangan getah) diunjur meningkat 13.4%.

 

Tambahan pula, risiko politik semakin berkurangan selepas pembentukan kerajaan perpaduan yang dipimpin Anwar Ibrahim.

 

PRU15 menjadi saingan paling sengit pernah dihadapi negara, berakhir dengan situasi tergantung apabila tiada parti mendapat majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan baharu.

 

Daripada 220 kerusi dipertandingkan pada pilihan raya itu, Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dengan 73 kerusi.

 

Barisan Nasional (BN) yang menjadi kerajaan sejak merdeka sebelum dikalahkan pada PRU14 pada 2018 pula hanya menguasai 30 kerusi.

 

Namun, dari aspek positif, Maybank IB berkata, keputusan pilihan raya itu membantu menyederhanakan premium risiko politik yang dialami Malaysia sejak PRU14 berikutan peningkatan mendadak dalam ketidaktentuan tadbir urus negara.

 

Selain makroekonomi dan hasil korporat, tidak diragukan lagi bahawa dasar-dasar kerajaan dan persekitaran politik akan menjadi pemangkin utama kepada pasaran pada 2023.

 

Sebaliknya, kerajaan yang kini lebih stabil juga harus memberi tumpuan yang lebih besar dan pelaksanaan yang dipercepatkan pada panduan/memuktamadkan dasar yang belum selesai untuk  sektor ekonomi yang besar.

 

"Dasar yang jelas akan menjadi rangsangan ekonomi yang ketara dan pemangkin penarafan semula untuk sebahagian besar pasaran ekuiti, terutama seperti kebanyakan pelaburan yang belum selesai (contohnya, pengembangan lapangan terbang, liputan jalur lebar gentian/peningkatan kualiti) yang mempunyai kesan pengganda tinggi, menggunakan kebanyakannya buruh domestik dan input modal," jelasnya.

 

 

BNM

 

 

Pada masa sama, firma itu berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) juga memainkan peranan untuk menyokong pemulihan ekonomi dengan melaksanakan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) yang 'perlahan dan stabil' sebanyak 100 mata asas sepanjang 2022. 

 

Ia adalah lebih rendah berbanding kenaikan 300 mata asas dana rizab persekutuan dalam tempoh berkenaan sehingga November 2022.

 

"Kami bagaimanapun menjangkakan BNM akan menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas lagi pada Januari 2023.

 

"Namun, pendekatan BNM yang terkawal secara relatif terhadap kenaikan kadar faedah bukanlah sesuatu yang luar biasa di rantau ini memandangkan bank pusat ASEAN tidak seagresif Fed dalam mengetatkan dasar monetari dan menaikkan kadar faedah, kecuali Filipina dan Singapura," katanya. - DagangNews.com