Maybank IB positif terhadap projek bina-untuk-jual UEM Sunrise bernilai RM874 juta di Australia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Maybank IB positif terhadap projek bina-untuk-jual UEM Sunrise bernilai RM874 juta di Australia

(Dari kiri) Pengarah Urusan Greystar Australia, Chris Key dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Sufian Abdullah.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 22 Jun - Maybank Investment Bank (Maybank IB) positif terhadap penjualan tanah dan pembangunan UEM Sunrise Berhad bernilai RM874 juta di Australia.

 

Menurut firma penyelidikan itu, projek tersebut membawa risiko jualan ‘sifar’ walaupun ia mungkin memberikan margin keuntungan yang lebih rendah berbanding bina-dan-jual biasa.

 

“Selain itu, kami difahamkan bahawa jualan tersebut disokong oleh perjanjian pembiayaan yang disediakan oleh pembeli.

 

“Projek itu tidak mungkin memberi kesan ketara kepada ramalan pendapatan tahun kewangan 2023 hingga 2025 (FY23-25) kami, justeru unjuran pendapatan tidak berubah sementara menunggu perjumpaan dengan pihak pengurusan hari ini,” katanya dalam nota hari ini.

 

Menurut Maybank IB, ia terkejut dengan kepantasan perkembangan terkini ini memandangkan sebelum ini firma itu dimaklumkan bahawa jualan itu hanya akan berlaku pada tahun 2024.

 

“Kami positif dengan jualan enbloc kerana ia bukan sahaja meminimumkan risiko jualan tetapi meringankan beban pembiayaan,” tambahnya.

 

Firma itu berkata GS komited untuk membiayai kos pembinaan dan pembangunan projek secara progresif setiap bulan, sementara UEM Sunrise juga akan dibayar yuran pengurusan pembangunan untuk mengurus projek sepanjang tempoh pembangunan dan pembayaran dana selepas tarikh siap praktikal secara tentatif pada separuh kedua 2027.

 

Di bawah perjanjian dana itu, UEM Sunrise perlu mendapatkan kelulusan perancangan dan melantik pemaju projek.

 

Maybank IB mengekalkan saranan ‘pegang’ dengan harga sasaran (TP) 27 sen sesaham.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, UEM Sunrise berkata ia telah memeterai kontrak jualan (COS) dengan GS Collingwood Property Trust (GS) untuk melupuskan tanah seluas 0.526 hektar di Collingwood, Melbourne pada harga AU$45.2 juta (RM143.3 juta).

 

Pada masa yang sama, kumpulan itu juga telah memeterai perjanjian dana dengan GS untuk memudahkan pembangunan hartanah bina-untuk-sewa, di mana UEM Sunrise akan melaksanakan pembinaan dan pembangunan hartanah itu untuk AU$232.2 juta termasuk GST (atau RM731.5 juta) dengan jumlah jualan AU$277.3 juta.  - DagangNews.com