KUALA LUMPUR 27 Julai - Maybank Investment Bank (Maybank) menaikkan taraf saranan Sentral REIT kepada ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada 91 sen seunit berikutan cadangan pengambilalihan Menara CelcomDigi.
Firma penyelidikan itu berkata pengambilalihan tersebut membawa jumlah pulangan melebihi 10% dan langkah tersebut dilihat positif dengan hasil hartanah bersihnya sebanyak 6%.
“Kami melaraskan unjuran keuntungan bersih FY23, FY24 dan FY25 meningkat sebanyak 0.8%, 13.6% dan 13.6%, berikutan kemasukan sumbangan Menara CelcomDigi pada suku keempat tahun kewangan 2023 (4Q23) dan seterusnya.
“Selepas pengambilalihan, saiz aset Sentral REIT akan meningkat 20% kepada RM2.6 bilion, manakala nisbah penggearan FY23 akan meningkat kepada 45% daripada 37%,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
BACA: Sentral REIT ambil alih Menara CelcomDigi berharga RM450 juta
Firma itu menjangkakan pendapatan seunit (EPU) dan pengagihan seunit (DPU) syarikat tersebut pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 dan 2025 (FY24/25) meningkat, masing-masing sebanyak 1.9% dan 1.9%.
Jelasnya, ini adalah berdasarkan andaian penempatan maksimum 123.7 juta unit baharu dan harga terbitan 75 sen sesaham.
Bagi pembiayaan pembelian Menara CelcomDigi pada harga RM454.8 juta (termasuk perbelanjaan berkaitan sebanyak RM4.8 juta), Sentral REIT telah mencadangkan untuk menempatkan sehingga 123.7 juta unit baharu.
Dengan mengandaikan harga terbitan penempatan unit itu sebanyak 75 sen sesaham, Maybank IB menjangkakan ia menaikkan hasil kasar sebanyak RM92.8 juta.
Selepas cadangan pengambilalihan, firma itu berkata hartanah tersebut akan menaikkan pajakan purata keseluruhan wajaran portfolio Sentral REIT akan tamat tempoh (mengikut kawasan boleh disewa bersih (NLA)) kepada 4.9 tahun.
“Kadar penghunian portfolio (oleh NLA) juga akan meningkat kepada 81.2%. Ini juga meningkatkan kepelbagaian pendapatan Sentral REIT ke dalam sektor telekomunikasi,” tambahnya.
Pada waktu penulisan, saham Sentral REIT didagangkan tidak berubah pada 83.5 sen dengan modal pasarannya berjumlah RM894.9 juta. - DagangNews.com








