Maybank IB kekal bimbang terhadap kenaikan harga makanan akibat El Nino | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Maybank IB kekal bimbang terhadap kenaikan harga makanan akibat El Nino

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 25 Sept - Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengekalkan unjuran kadar inflasi 2023 pada 3% namun bimbang terhadap kejutan kenaikan harga makanan akibat fenomena El Nino.

 

Firma penyelidikan itu berkata ia mengambil berat tentang risiko inflasi makanan berkaitan El-Nino, terutamanya dengan tekanan kenaikan harga beras dalam beberapa bulan kebelakangan ini, di mana ia telah meningkat tahun ke tahun (YoY) sebanyak 3% pada Ogos 2023 berbanding 2.4% bulan sebelumnya.

 

“Ini disebabkan kekurangan bekalan beras global berikutan keadaan cuaca buruk akibat El-Nino dan pengeluar beras utama seperti India telah menyekat eksport beras,” jelasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Bagaimanapun, firma itu berkata kadar inflasi keseluruhan stabil pada 2% YoY pada Ogos 2023, manakala kenaikan inflasi teras perlahan kepada 2.5% YoY.

 

Oleh itu, ia mengekalkan unjuran kadar inflasi 2023 pada 3% disebabkan inflasi bulanan dijangka kekal di bawah 3% hingga akhir tahun, terutamanya berdasarkan kesan asas.

 

Namun Maybank IB mendedahkan bahawa risiko inflasi kekal berat sebelah kepada trend menaik berikutan kecairan dasar subsidi dan kawalan harga.

 

“Kerajaan telah melaksanakan subsidi bersasar, bermula dengan elektrik pada awal tahun ini, di mana subsidi hanya diberikan kepada pengguna domestik (isi rumah) dan pengguna voltan rendah berbanding pengguna bukan domestik (industri, komersial) dan pengguna voltan sederhana/tinggi.

 

“Ini diikuti dengan pengecualian subsidi elektrik bagi isi rumah berpendapatan tinggi pada permulaan separuh kedua 2023 iaitu mereka yang mempunyai penggunaan elektrik bulanan melebihi 1,500kWj (kilowatt sejam).

 

“Seterusnya adalah pelaksanaan subsidi bahan api bersasar pada 2024 yang juga akan menamatkan manfaat kepada isi rumah berpendapatan tinggi,” tambahnya. - DagangNews.com