KUALA LUMPUR 25 Ogos - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menjangkakan Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) dapat mengintegrasikan dan memulihkan aset Boustead Plantations Berhad yang berprestasi rendah dalam tempoh lima tahun akan datang.
Mengulas mengenai rasional KLK membeli pegangan majoriti sebanyak 65% dalam Boustead Plantations dengan hasrat pelaburan jangka panjang, firma penyelidikan itu berkata Boustead Plantations merupakan aset terkaya di Malaysia dengan bank tanah di seluruh Malaysia.
BACA JUGA: KLK cadang ambil alih 33% pegangan dalam Boustead Plantations berharga RM1.15 bilion
Menurut Maybank IB, Boustead Plantations memiliki jumlah kawasan tanaman kelapa sawit seluas 72,291 hektar, iaitu di Semenanjung Malaysia (23,336 hektar), Sabah (38,670 hektar) dan Sarawak (10,285 hektar).
“Kekurangan kawasan penanaman kelapa sawit di Malaysia menjadikan Boustead Plantations sebagai calon pengambilalihan ideal yang mempunyai 97,399 hektar tanah, menambah 27% kepada tanah KLK sedia ada kepada 452,884 hektar,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Sementara itu, firma itu berkata KLK mempunyai pilihan untuk mengewangkan sebahagian daripada tanah strategik Boustead Plantations sekiranya terdapat keperluan untuk mengurangkan hutang.
Firma tersebut berkata cadangan tawaran yang dijangka siap pada suku keempat tahun ini akan meningkatkan penggearan bersih proforma KLK (pada 30 September 2022) kepada 0.6 kali daripada 0.4 kali.
Bagi jangka pendek, Maybank IB berkata ia ‘neutral’ terhadap pembelian tersebut, namun positif bagi jangka panjang.
Jelasnya, dari segi nisbah pendapatan-harga (PER), harga tawaran nampaknya adalah mahal dengan PER 66 kali ke hadapan (teras), menjadikan pembelian itu mencairkan pendapatan KLK sedikit, jika Boustead Plantations menghentikan amalannya untuk mengewangkan tanah bagi menambah pendapatan utamanya.
Secara berasingan, KLK turut mengeluarkan pendapatan suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23) semalam, di mana Maybank IB berkata ia berada di bawah jangkaan, terjejas oleh keuntungan huluan yang lebih lemah dan hiliran kerugian.
Oleh itu, firma itu menurunkan taraf saranan saham KLK kepada ‘pegang’ daripada ‘beli’ dan mengurangkan harga sasaran (TP) baharu kepada RM23 sesaham daripada RM23.90.
Setakat pukul 10 pagi hari ini, saham KLK didagang rendah pada RM21.68, susut 72 sen atau 3.2% dengan permodalan pasaran sebanyak RM23.4 bilion. - DagangNews.com








