Maybank IB jangka jumlah eksport minyak sawit mentah menurun didorong penarikan larangan eksport Indonesia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Maybank IB jangka jumlah eksport minyak sawit mentah menurun didorong penarikan larangan eksport Indonesia

KUALA LUMPUR 14 Jun - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menjangkakan jumlah eksport minyak sawit mentah (MSM) akan berkurangan pada bulan ini.

 

Firma itu berkata, jangkaan itu dibuat berdasarkan kepada penarikan semula larangan eksport minyak sawit oleh kerjaaan Indonesia pada penghujung Mei dan ia akan meningkatkan inventori Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada Jun.

 

"Anggaran awal eksport Malaysia untuk penghantaran dalam 10 hari pertama Jun 2022 oleh juruukur kargo bebas AmSpec dan EUROLAB menunjukkan trend bercampur masing-masing pada 363,732 tan dan 415,348 tan (-3%/+6% bulan ke bulan)

 

"Kami menjangkakan peningkatan bekalan global minyak bijian dan MSM pada separuh kedua 2022 bagi memberi tekanan agar harga MSM menurun," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

Firma itu berkata, selepas mengambil kira keadaan cuaca agak normal ke arah baik, pengeluaran bijian di Hemisfera Utara dijangka lebih baik pada separuh kedua selepas dua tahun mereka berhadapan cuaca buruk yang menjejaskan hasil tanaman.

 

"Kami menjangkakan keluaran minyak sawit lebih kukuh mengikut musim pada separuh kedua dan pada masa sama merasakan harganya akan menjadi semakin lemah berbanding tempoh sama tahun lalu.

 

"Untuk jangka masa terdekat, penurunan harga MSM akan diimbangi harga minyak lain yang bersaing kerana kini ia diadagangkan pada harga berpatutan berbanding minyak lain," katanya. - DagangNews.com