KLCI diunjur cecah 1,610, Maybank IB berhati-hati optimis terhadap prospek ekuiti Malaysia pada 2024 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KLCI diunjur cecah 1,610, Maybank IB berhati-hati optimis terhadap prospek ekuiti Malaysia pada 2024

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 18 Dis - Maybank Investment Bank berhati-hati optimis terhadap prospek ekuiti Malaysia tahun depan disokong kestabilan politik dan pelaksanaan pelan tindakan makro merangkap sasaran yang telah diumumkan pada 2023.

 

Firma penyelidikan itu berkata bagi ekuiti, penghujung pengetatan dasar monetari global  merupakan cabaran, manakala pemangkin utama adalah kestabilan prospek dasar kadar faedah domestik, transformasi ekonomi dan peningkatan momentum pelaburan langsung asing (FDI).

 

“Kami juga mengharapkan pertumbuhan pendapatan korporat lebih baik pada 2024, melonjak 15.8% daripada 2.7% tahun ini didorong peningkatan pendapatan dalam kebanyakan sektor dengan sektor sarung tangan getah dan penerbangan kembali mencatat keuntungan,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Maybank IB berkata ia mengekalkan sasaran KLCI untuk akhir 2024 pada 1,610 serta menantikan pelaksanaan pelan tindakan makro dan pendapatan korporat yang lebih kukuh pada 2024 untuk meningkatkan paras KLCI.

 

Penarafan semula berkemungkinan berlaku apabila pembaharuan ekonomi dan institusi dilaksanakan untuk memudahkan pemacu pertumbuhan baharu, yang membawa kepada ganjaran risiko lebih baik.

 

Dari perspektif aliran dana, firma itu berkata terdapat peningkatan apabila Malaysia melaksanakan transformasi ekonomi dan pembaharuan fiskal dan akhir sekali, ekuiti boleh mendapat peningkatan didorong jangkaan ringgit lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

 

Sementara itu, menyarankan pelabur membeli portfolio sektor berkaitan perdagangan dan domestik terpilih, seimbang dengan dengan saham bertumpukan hasil dan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

 

“Kitaran teknologi gantian dan tanda-tanda pemulihan yang muncul dalam kitaran elektronik global akan memanfaatkan sektor teknologi dan dan perkhidmatan (operator pelabuhan/logistik).

 

“Secara domestik, momentum FDI yang meningkat, peralihan tenanga boleh diperbaharui (RE) dan pemulihan pelancongan akan menjadi positif untuk saham dalam RE, pembinaan, penerbangan dan permainan serta saham terpilih dalam sektor pengguna,” katanya.  - DagangNews.com