Maybank catat untung bersih RM2.48 bilion pada suku pertama 2024, naik 9.8% | DagangNews Skip to main content

Maybank catat untung bersih RM2.48 bilion pada suku pertama 2024, naik 9.8%

Maybank merupakan kumpulan perbankan terbesar di Malaysia dari segi aset. -Gambar hiasan
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 24 Mei - Kumpulan Maybank mencatatkan untung bersih sebanyak RM2.48 bilion bagi suku pertama tahun kewangan 2024 berakhir 31 Mac (1QFY24), meningkat 9.8% berbanding suku sama setahun sebelumnya.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan perbankan terbesar di Malaysia dari segi aset itu berkata,  pendapatan dalam 1QFY24 juga meningkat kepada RM18.34 bilion daripada RM15.18 billion pada suku pertama 2023.

 

Sementara itu, keuntungan sebelum cukai (PBT) kumpulan juga meningkat 12.6 peratus kepada RM3.44 bilion berbanding tahun sebelumnya.

 

Dalam satu kenyataan, Maybank berkata, pendapatan faedah bersih meningkat 4.5% tahun demi tahun kepada RM5.24 bilion. 

 

Pendapatan bukan faedah melonjak 78% kepada RM3.05 bilion berbanding 1QFY2023, terutamanya disebabkan oleh keuntungan perakaunan sebanyak RM995.5 juta dalam bentuk keuntungan penandaan semula pada penilaian semula liabiliti kewangan pada nilai yang adil.

 

"Untuk masa akan datang, Maybank berkata ia sedang memanfaatkan pertumbuhan perniagaan yang dikenal pasti dengan meluaskan dalam bidang perkhidmatan kewangan komuniti kumpulan, perbankan global kumpulan dan insurans kumpulan serta takaful di pasaran tempat tinggalnya, yang digerakkan oleh prospek ekonomi serantau yang lebih baik," katanya.

 

Margin faedah bersih (NIM) bank — suatu ukuran keuntungan dari faedah yang dikenakan ke atas pinjaman selepas mengurangkan pulangan yang dibayar kepada deposit — merosot 19 mata asas atau 0.19 mata peratus kepada 2% dari 1QFY2023, disebabkan oleh kos pembiayaan yang lebih tinggi di seluruh pasaran tempat tinggal.

 

"Kos overhed lebih tinggi pada RM3.66 bilion berbanding RM3.05 bilion setahun sebelumnya, hasil daripada peningkatan dalam kos kakitangan, kos pentadbiran dan am, perbelanjaan IT dan perbelanjaan pemasaran.

 

"Walaupun begitu, keuntungan operasi pra-peruntukan (PPOP) kumpulan mencatatkan peningkatan sebanyak 19.8 peratus tahun ke tahun kepada RM3.92 bilion," katanya.

 

"Kumpulan terus menjalankan penglibatan proaktif dengan pelanggan yang menghadapi cabaran kewangan dengan membantu mereka mengurus komitmen mereka secara berkesan," catat Maybank.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, hasil suku pertama yang positif itu disokong oleh pendapatan yang kukuh, pertumbuhan deposit yang baik dan kualiti aset yang stabil.

 

"Kumpulan akan terus memacu momentum M25+ yang lebih kuat, menumpukan pada sektor penumbuhan yang dikenal pasti merentas Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti, Kumpulan Perbankan Global dan Insurans & Takaful Kumpulan di ASEAN," ujarnya. - DagangNews.com