KUALA LUMPUR 5 Jan - Maxis komited untuk terus membantu mangsa-mangsa terjejas akibat banjir, merangkumi kesediaan infrastruktur rangkaian, langkah respons banjir dan bantuan asas untuk menyokong komuniti terkesan.
Syarikat telekomunikasi itu berkata, keutamaan Maxis adalah untuk sentiasa memastikan ketersambungan mudah alih yang boleh dipercayai di kawasan terjejas banjir.
Katanya, selain melengkapkan tapak menara dengan set penjana kuasa siap sedia, ia juga menyediakan penjana mudah alih serta peralatan kritikal di kawasan-kawasan serantau yang boleh dikerahkan dengan pantas bagi mengurangkan gangguan dan mempercepatkan pemulihan di tapak rangkaian.
"Maxis juga secara progresif mengenal pasti tapak rangkaian berisiko tinggi berdasarkan data sejarah banjir, dan setakat ini telah menaikkan ketinggian platform atau tempat perlindungan untuk lebih daripada 60 tapak di seluruh negara bagi mengelakkan tapak-tapak tersebut daripada ditenggelami air.
"Rangkaian Maxis turut dilengkapi dengan armada kenderaan komunikasi mudah alih yang boleh digerakkan sebagai tapak menara mudah alih untuk menyokong ketersambungan di kawasan yang dilanda banjir," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Maxis berkata, pihaknya menyediakan perkhidmatan WiFi percuma di lebih daripada 20 pusat pemindahan banjir merentasi lima negeri pada 2023 dalam menyokong usaha pihak berkuasa.
"Ini termasuk beberapa pusat pemindahan banjir di Terengganu yang terkini, membolehkan keluarga-keluarga yang terkesan serta kakitangan kecemasan mendapat sambungan internet," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Rangkaian Maxis, Abdul Karim Fakir Ali berkata, ketersambungan yang boleh dipercayai adalah kritikal semasa banjir, dan pihaknya memandang serius peranan dalam memastikan ketersambungan yang diperlukan rakyat Malaysia melalui rangkaian Maxis di seluruh negara.
"Kami komited untuk menyokong mobilisasi perkhidmatan kecemasan yang efektif di kawasan yang terkesan, dan membolehkan orang ramai untuk terus berhubung dengan orang tersayang mereka pada waktu memerlukan," katanya.
Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Maxis, Mariam Bevi Batcha pula berkata, pihaknya menyumbang bekalan makanan serta kad SIM dan tambah nilai mudah alih untuk membantu pemulihan mereka.kata
"Adalah sama pentingnya semasa kejadian banjir untuk memastikan komuniti yang terjejas dapat dipulihkan dan bangkit semula," katanya.
200 keluarga daripada komuniti terjejas di pusat pemindahan banjir Sekolah Kebangsaan Gual Periok di Rantau Panjang, Kelantan menerima kotak bekalan makanan keperluan daripada Maxis, termasuk 1,500 kad SIM Hotlink dan tambah nilai mudah alih turut diedarkan di seluruh negeri tersebut. - DagangNews.com








