KUALA LUMPUR 9 Mei - Sempena sambutan Hari Raya dan kempen Riang Raya Maxis tahun ini, Maxis telah melancarkan beberapa inisiatif untuk membawa keriangan kepada keluarga B40, pelajar dan orang kurang upaya (OKU).
Bagi memperkasa komuniti dengan kemahiran digital, menerusi kerjasama Persatuan OKU Sentral, Maxis juga akan menjalankan sesi khas program eKelas Usahawan untuk golongan OKU.
eKelas Usahawan Maxis merangkumi bengkel pemasaran digital dengan pendekatan praktikal untuk melengkapkan peserta dengan alat dan kemahiran digital yang mampu mengembangkan perniagaan dan pendapatan mereka.
Antara modul yang telah dikembangkan termasuklah petua dan kemahiran asas pemasaran dan fotografi digital, penulisan salinan, serta perancangan kempen pemasaran dan pengiklanan melalui platform dalam talian dan media sosial.
Presiden Persatuan OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Mohd Radzi, berkata, golongan OKU amat luar biasa dan mempunyai bakat yang berbeza.
"Oleh itu mereka sering menjadi pengguna awal teknologi untuk membolehkan mereka melakukan lebih banyak perkara. Ia amat menginspirasikan untuk lihat bagaimana kita boleh memperkasakan mereka bagi mengembangkan peluang pendapatan dan mencapai kemungkinan baharu dengan alatan digital yang betul.
"Kami gembira dapat bekerjasama dengan Maxis untuk membawa impak positif kepada komuniti dan juga, untuk memastikan mereka tidak ketinggalan," katanya.


Sementara itu, lebih daripada 150 kotak makanan telah diedarkan kepada keluarga B40 di Pasir Mas dan Rantau Panjang, Kelantan yang terjejas akibat banjir.
Untuk menyokong perniagaan mikro pula, kotak makanan tersebut dilengkapi dengan pelbagai biskut raya yang dijual usahawan wanita dari komuniti yang sama dengan bantuan Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) Kampung Repek, Kelantan.
Selain itu, seramai 50 pelajar daripada komuniti B40 dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Garuda, Pahang turut menerima bantuan peralatan sekolah, berserta dengan panduan untuk menyertai program eKelas Maxis.
eKelas adalah program komuniti utama Maxis yang menyediakan akses kepada pendidikan berkualiti untuk pelajar Tahun 4 hingga Tingkatan 5 melalui tutorial secara langsung, pembelajaran berkumpulan, pertandingan dan kandungan digital selaras dengan Sukatan Pelajaran Sekolah Malaysia.
Pelajar boleh mendaftar secara percuma di www.ekelas.com.my atau memuat turun aplikasi eKelas di Play Store atau Apple Store. - DagangNews.com








