Maxis lancar filem pendek bertajuk Makna Raya Si Menantu sempena sambutan Aidilfitri tahun ini | DagangNews Skip to main content

Maxis lancar filem pendek bertajuk Makna Raya Si Menantu sempena sambutan Aidilfitri tahun ini

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 April - Maxis melancarkan filem pendek bertajuk Makna Raya Si Menantu sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut tidak lama lagi.

 

Filem bertemakan semangat Aidilfitri diserlahkan menerusi ikatan silaturahim itu bertujuan meraikan hubungan bermakna bersama orang-orang tersayang. 

 

Selaras dengan tema perayaan, filem pendek itu menceritakan tentang pengantin baharu yang meraikan sambutan Aidilfitri bersama keluarga mentua.

 

Filem itu memaparkan perspektif unik tentang bagaimana jalinan kekeluargaan dapat dibina dengan ahli keluarga baharu dan pada masa sama meraikan hubungan sedia ada dengan berlatarbelakangkan keluarga mentua di kampung halaman.

 

Ketua Pegawai Pemasaran Maxis, Loh Keh Jiat berkata, bagi kempen Maxis sempena sambutan hari raya tahun ini, pihaknya mengambil pendekatan untuk memaparkan pengalaman beraya dengan keluarga mentua buat kali pertama- suatu pengalaman biasa bagi setiap pengantin baharu.

 

"Walaupun pengalaman tersebut mungkin meresahkan dan dianggap berbeza daripada sambutan hari raya yang biasa kita raikan tetapi ia turut menzahirkan mesej makna Aidilfitri menerusi hubungan silaturahim.

 

"Kami berharap penonton berasa seronok serta dapat mengaitkan kisah filem ini dengan pengalaman hidup masing-masing,” katanya.

 

Orang ramai yang berminat untuk menonton filem pendek itu boleh melayari https://www.youtube.com/watch?v=yxSzjUeedYk. - DagangNews.com