Maxis, Ideal Property Group bekerjasama bawa kesalinghubungan fiber kediaman dan perniagaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Maxis, Ideal Property Group bekerjasama bawa kesalinghubungan fiber kediaman dan perniagaan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 7 April - Maxis bekerjasama dengan pemaju hartanah di Pulau Pinang, Ideal Property Group untuk membawa kesalinghubungan fiber ke kediaman dan perniagaan. 

 

Melalui kerjasama ini, Maxis memanfaatkan binaan fibernya sendiri untuk memberikan pengalaman internet yang unggul dan tawaran fiber yang menarik bagi pembangunan bercampur di Pulau Pinang serta Butterworth.

 

Pemangku Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Maxis, Claire Featherstone berkata, pihaknya akan mereka bentuk, membekal dan memasang infrastruktur telekomunikasi untuk perkhidmatan tetap dalam 12 projek komersial serta kediaman terdiri daripada 12,000 premis perniagaan dan kediaman. 

 

Katanya, kerjasama ini mewakili kerjasama berterusan Maxis dengan pemaju hartanah di negara ini dalam menyediakan penyelesaian jalur lebar dan kesalinghubungan berkelajuan tinggi. 

 

"Melalui rangkaian, keupayaan dan tawaran fiber kami yang menarik, terdapat peluang besar untuk perkhidmatan digital bagi lebih banyak kediaman serta perniagaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Pengerusi Eksekutif Ideal Property Group, Tan Sri Alex Ooi Kee Liang berkata, kesalinghubungan telah menjadi aspek penting dalam kehidupan dan kerja, dan pihaknya komited untuk membangunkan lebih banyak kediaman serta perbandaran terhubung untuk memenuhi gaya hidup digital pelanggan. 

 

Katanya, keupayaan Maxis dalam infrastruktur dan perkhidmatan rangkaian semestinya akan menambah nilai kepada perbandaran mereka. 

 

"Perkongsian ini merupakan langkah penting demi merialisasikan visi kami untuk menjadi pemaju hartanah bertaraf dunia," katanya.

 

Taman Teknologi Pulau Pinang@Bertam dan Penang International Exchange 1 &2 adalah antara pembangunan komersial yang mana Maxis akan menjadi salah satu penyedia kesalinghubungan utama di bawah perjanjian itu. - DagangNews.com