Maxis, Digi, U Mobile, XOX dikenakan kompaun MCMC berjumlah RM3.2 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Maxis, Digi, U Mobile, XOX dikenakan kompaun MCMC berjumlah RM3.2 juta

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 16 Julai - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengeluarkan 64 kompaun bernilai RM3.2 juta pada suku kedua 2021 kepada empat syarikat telekomunikasi termasuk Maxis Broadband Sdn Bhd, U Mobile Sdn Bhd, Digi Telecomunications Sdn Bhd dan XOX Com Sdn Bhd.

 

Ini berhubung kegagalan kesemua syarikat telekomunikasi itu untuk mematuhi rancangan penomboran dan pengalamatan elektronik serta ketidakpatuhan kepada Garis Panduan Prabayar  bagi pendaftaran pengguna akhir.  

 

“Daripada nilai RM3.2 juta tersebut, sebanyak 54 kompaun yang bernilai RM2.7  juta dikeluarkan kepada syarikat telekomunikasi, Maxis adalah kerana kegagalan mematuhi rancangan penomboran dan pengalamatan elektronik. 

 

“Selain daripada itu, pihak MCMC juga turut mengeluarkan 10 kompaun atas  ketidakpatuhan kepada Garis Panduan Prabayar bagi pendaftaran pengguna akhir iaitu lima kompaun yang bernilai RM250,000 kepada syarikat U Mobile diikuti dua kompaun bernilai RM100,000 kepada Maxis serta dua kompaun bernilai RM100,000 kepada Digi.

 

"Manakala XOX dikenakan satu  kompaun yang bernilai RM50,000,” jelas MCMC dalam satu kenyataan. 

 

Tindakan itu diambil bagi memastikan hak pengguna diberi keutamaan dalam memilih syarikat telekomunikasi berdasarkan kepada perkhidmatan yang  ditawarkan.  

 

Jelas MCMC, agensi itu memandang serius kesalahan yang dilakukan oleh syarikat  telekomunikasi tersebut. 

 

MCMC juga menggesa syarikat telekomunikasi agar lebih tegas terhadap ejen-ejen mereka dalam mematuhi garis panduan yang ditetapkan serta tidak mengabaikan aspek keselamatan dalam usaha membendung jenayah siber dan kepentingan pengguna. - DagangNews.com