KUALA LUMPUR 19 Mei - Maxis Berhad telah mencatatkan kenaikan 7.4% dalam keuntungan bersih suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (1QFY23) kepada RM320 juta berbanding RM298 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Pendapatan kumpulan juga turut meningkat sebanyak 5% kepada RM2.5 bilion daripada RM2.4 bilion pada tahun sebelumnya.
Maxis mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 4 sen sesaham untuk suku pertama yang akan dibayar pada 28 Jun 2023. Tarikh kelayakan untuk pembayaran dividen ialah 6 Jun 2023.
Dalam makluman di Bursa Malaysia, kumpulan itu memberi panduan bahawa tahun kewangan 2023 (FY23) dijangka menyaksikan kenaikan mendatar kepada satu angka rendah dalam pendapatan perkhidmatan.
Maxis juga menjangkakan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA), tidak termasuk sebarang kewangan berpotensi untuk 5G, dan perbelanjaan modal kumpulan kekal pada paras yang sama seperti tahun kewangan 2022.
Kumpulan itu berkata pendapatan perkhidmatan pada 1QFY23 telah meningkat 4% tahun ke tahun (YoY) kepada RM2.1 bilion dan pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) meningkat 3.4% YoY kepada RM541 juta, walaupun dalam persekitaran operasi yang mencabar.
"Kami gembira dengan permulaan tahun ini yang kukuh. Di samping menguatkan kedudukan sebagai pemain bersepadu, kami akan menumpukan pada pertumbuhan yang mampan dan boleh dijangka serta pelaksanaan menyeluruh yang kukuh untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Goh Seow Eng dalam satu kenyataan hari ini.

Dari segi segmen, pendapatan pascabayar telah meningkat 10.1% kepada RM864 juta dengan keseluruhan langganan pascabayar meningkat 6.5% kepada 3.4 juta dan purata pendapatan bagi setiap pengguna (ARPU) yang stabil pada RM78.
Manakala segmen prabayar mencatatkan pertumbuhan pendapatan berdaya tahan sebanyak 0.6% kepada RM661 juta, di mana penggunaan pelan Prabayar Hotlink membantu mengekalkan asas pelanggan yang sihat pada 5.7 juta dan ARPU pada RM38 walaupun pasaran prabayar menguncup.
Sementara itu, pendapatan kesalinghubungan kediaman meningkat 11% kepada RM222 juta dengan penawaran perkhidmatan konvergen yang kompetitif manakala jumlah sambungan kediaman mencapai 688,000 dirangsang oleh penukaran aktif pelanggan jalur lebar tanpa wayar kepada fiber.
Pendapatan perniagaan perusahaan tidak termasuk wholesale voice meningkat sebanyak 5.5% kepada RM365 juta.
Pada suku pertama, Maxis telah melabur RM130 juta dalam perbelanjaan modal untuk mengekalkan kualiti rangkaian dan untuk memenuhi peningkatan permintaan jalur lebar dalam persekitaran yang semakin kea rah pendigitalan. -DagangNews.com








