KUALA LUMPUR 4 Julai - RHB Research menyemak naik unjuran harga minyak mentah Brent lebih tinggi tahun ini berlegar pada AS$108 setong berbanding sebelum ini, AS$104 setong ekoran masalah kekangan bekalan dalam pasaran.
Firma itu bagaimanapun mengekalkan unjuran bagi 2023 dan 2024 masing-masing pada AS$85 setong dan AS$75 setong.
"Kami menjangkakan harga minyak akan mencapai purata AS$110 setong pada suku ketiga 2022 sebelum menyederhana kepada AS$105 setong pada suku keempat.
"Pelarasan yang lebih tinggi itu mencerminkan masalah kekangan bekalan yang masih berterusan dalam tempoh terdekat, disebabkan paras inventori yang rendah dan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum tidak memenuhi kuota pengeluaran," katanya dalam nota kajian hari ini.
Pada Mesyuarat Menteri OPEC dan bukan OPEC ke-30 baru-baru ini, OPEC dan sekutunya (OPEC+) mengesahkan semula ikrarnya untuk meningkatkan pengeluaran sebanyak 648,000 tong sehari pada Ogos, seperti yang telah dipersetujui dalam mesyuarat sebelumnya.
Secara keseluruhan, keputusan OPEC berkemungkinan kekal utuh tetapi bekalan kekal ketat pada separuh kedua kerana OPEC+ bergelut untuk memenuhi kuota pengeluarannya, menimbulkan keraguan terhadap kesediaan kapasiti gantinya.

Pelan peningkatan pengeluaran Nigeria pula boleh diimbangi oleh penurunan beransur-ansur dalam pengeluaran Rusia.
Dengan itu, paras simpanan bagi Organisasi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) berkemungkinan berlegar pada paras semasa dalam tempoh terdekat, yang tidak jauh daripada purata pada 2010-2014.
Berdasarkan OPEC, pertumbuhan permintaan minyak global masih dianggarkan pada 3.4 juta tong sehari bagi tahun ke tahun kepada jumlah permintaan sebanyak 100.3 juta tong sehari, berikutan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global pada 3.5%.
Namun, RHB Research berkata, harga minyak mentah global boleh diheret turun ekoran meningkatnya kebimbangan terhadap risiko kemelesetan meskipun permintaan global dilihat mengukuh suku ke suku apabila China melonggarkan sekatan pergerakan.
"Oleh itu, buat masa ini, kami berpendapat bahawa keseimbangan risiko ke arah kemelesetan Amerika Syarikat (AS), disertai dengan pertumbuhan global yang perlahan pada 2023, tetapi dengan risiko ekonomi yang terhad atau persekitaran krisis ekonomi atau kewangan yang timbul pada 2022-2023," jelasnya.
Bagaimanapun, secara keseluruhan, firma itu mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor minyak dan gas (O&G).
Ia percaya, penyedia perkhidmatan hiliran (berkaitan penggerudian, penyelenggaraan) akan mendapat manfaat daripada peningkatan aktiviti dan peruntukan perbelanjaan modal (capex) di peringkat domestik serta kadar perkhidmatan yang lebih baik pada masa akan datang.
"Ini akan menyaksikan syarikat penerokaan dan pengeluaran, penapisan terpilih dan petrokimia akan menikmati pendapatan yang kukuh, susulan harga produk yang lebih baik," tambahnya.
Saham pilihan utamanya bagi sektor tersebut ialah Petronas Chemicals Group Bhd., Bumi Armada Bhd. dan Yinson Holdings Bhd. - DagangNews.com








