KUALA LUMPUR 8 Mac - Institut Masa Depan Malaysia (MASA) menggesa Kerajaan Malaysia untuk mempergiatkan lagi usaha dan inisiatif bagi meningkatkan taraf sosioekonomi wanita yang lebih inklusif.
Ketua Pegawai Eksekutif MASA, Azril Mohd Amin berkata, ia sejajar dengan komitmen pihaknya yang tidak berbelah bahagi menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).
Beliau berkata, pihaknya menyokong segala bentuk pelaksanaan dasar yang saksama dan strategik yang boleh memupuk dan meningkatkan penyertaan serta kepimpinan wanita dalam sektor swasta serta awam.
"Selari dengan usaha kolektif kami, Malaysia telah menetapkan sasaran penting untuk menghapuskan segala bentuk ketidakadilan dalam pasaran buruh, yang bertujuan tidak lain tidak bukan untuk memajukan hasil ekonomi wanita.
"MASA ingin menekankan betapa pentingnya langkah-langkah proaktif dan berterusan dalam memanfaatkan potensi besar wanita agar dapat memacu kemakmuran negara, komuniti, keluarga dan isi rumah," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Menurut Azril, peranan dan sumbangan wanita amat diperlukan dalam menangani pelbagai cabaran bagi mengemudi pemulihan, reformasi dan transformasi ekonomi.
Katanya, kajian mendedahkan bahawa walaupun separuh daripada populasi dunia terdiri daripada wanita, mereka hanya menyumbang 37% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global.

"Nilai kerja tanpa gaji wanita adalah bernilai AS$10.9 trilion (RM51.13 trilion) pada ekonomi dunia dan ini jelas membuktikan pentingnya usaha-usaha untuk menjulang darjat mereka dalam pembinaan kapasiti dan keusahawanan.
"Pemerkasaan wanita merangkumi pelbagai aspek seperti pemerolehan pengetahuan, kesedaran, pembinaan kapasiti dan peningkatan penyertaan dalam proses membuat keputusan," katanya.
Beliau berkata, MASA menyokong kesaksamaan dan pemerkasaan jantina serta mengakui pengetahuan dan kehebatan wanita dalam membuat keputusan yang amat penting bagi kemajuan masyarakat dan negara.
"Kami juga memperakui bahawa konsep pemerkasaan wanita melangkaui konsep feminisme Barat, yang dilihat mencabar dan mengubah norma, amalan dan undang-undang masyarakat yang mengekang kesejahteraan dan pilihan mereka," katanya.
Dalam pada itu katanya, MASA berbangga untuk bersama-sama dengan komuniti global, meraikan pencapaian luar biasa dan sumbangan wanita yang tidak ternilai di seluruh dunia, bersempena Hari Wanita Antarabangsa 2024 hari ini.
Beliau berkata, tema tahun ini, "Wanita Dijulang, Negara Gemilang: Percepatkan Kemajuan" yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menggariskan keperluan mendesak untuk menangani jurang ekonomi yang dihadapi kaum wanita.
Katanya, kempen yang bertemakan "Menginspirasikan Keterangkuman" menonjolkan betapa pentingnya kepelbagaian dan pemerkasaan wanita merentasi semua sektor masyarakat.
"Dalam kita memperingati Hari Wanita Antarabangsa 2024, MASA akan terus menjulang komitmen teguh kami dalam memperjuangkan kesaksamaan gender, memperkasakan wanita serta memupuk kemakmuran bersama untuk semua," katanya. - DagangNews.com








