Margin keuntungan kasar Inari dijangka kekal rendah, Maybank IB turunkan unjuran pendapatan FY24-26 sehingga 10% | DagangNews Skip to main content

Margin keuntungan kasar Inari dijangka kekal rendah, Maybank IB turunkan unjuran pendapatan FY24-26 sehingga 10%

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 27 Feb - Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengunjurkan margin keuntungan kasar Inari Amertron Berhad kekal rendah memandangkan ia tidak melebihi 25% sejak suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23).

 

Firma penyelidikan itu berkata, margin kumpulan itu terkesan oleh kos elektrik yang lebih tinggi dan usaha menaik taraf peralatan sekali sahaja pada suku kedua tahun kewangan 2024 (2QFY24) walaupun segmen frekuensi radio (RF) dan opto kumpulan itu mencatat pertumbuhan tahun ke tahun (YoY) dalam suku yang lebih kukuh bermusim.

 

“Meskipun pertumbuhan segmen RF dan opto menggalakkan berbanding kelemahan meluas pasaran telefon pintar/penghantar optik, projek tambahan dan usaha sama Inari Amertron masih belum meningkat dengan ketara. 

 

“Kami juga kekal berhati-hati terhadap kelemahan makroekonomi di China yang menjejas jualan automotif dan persaingan semakin sengit dalam kalangan pengeluar telefon pintar China yang bangkit semula,” jelasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Oleh itu, firma tersebut menurunkan unjuran pendapatan pembekal perkhidmatan pemasangan dan ujian semikonduktor sumber luar (OSAT) terbabit bagi tahun kewangan 2024, 2025 dan 2026 (FY24-26) masing-masing sebanyak 10%, 3% dan 4% berikutan cabaran dan ketidaktentuan dihadapinya.

 

Menurut Maybank IB, keuntungan bersih teras Inari Amertron pada separuh pertama tahun kewangan 2024 (1HFY24) merosot 16% YoY kepada RM172.4 juta, merangkumi hanya 46% daripada jangkaan tahun penuh firma dan konsensus bagi FY24.

 

Firma itu berkata, pendapatan kumpulan pada 2QFY24 lebih kukuh sedikit tahun ke tahun dengan kenaikan 3%, disokong oleh peningkatan 5% dalam jumlah bagi bahagian RF.

 

Walaupun pemuatan volum Generics adalah 23% lebih rendah, segmen opto mencatatkan pertumbuhan positif 6% bagi suku pertama sejak 3QFY22. 

 

Bagaimanapun, margin pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) menguncup enam mata peratusan kerana kumpulan itu menanggung overhed yang lebih tinggi berikutan peningkatan tarif pelepasan kos tidak seimbang (ICPT) dan perbelanjaan RM3 juta sekali sahaja untuk menaik taraf peralatan tertentu.

 

Maybank IB mengekalkan saranan ‘pegang’ dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada RM3.18 sesaham daripada RM3.12 sebelumnya berdasarkan purata lima tahun yang dikemas kini daripada nisbah harga kepada pendapatan (PER) 12 bulan ke hadapan.

 

Pada rehat tengah hari, saham Inari ditutup rendah 6 sen atau 1.9% kepada RM3.10, memberikannya permodalan pasaran berjumlah RM11.6 bilion. - DagangNews.com