KUALA LUMPUR 24 Feb - Malaysian Genomics Resource Centre Berhad (Malaysian Genomics) menjalin kerjasama strategik dengan Kensana Health Canada dan Universiti MAHSA untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk fitofarmaseutikal serta bioteknologi yang boleh membawa kepada pengkomersilan.
Kerjasama strategik itu melibatkan ketiga-tiga pihak yang menjalankan R&D bersama mengenai penambahbaikan spesies, pengenalpastian, perumusan dan ujian pra-klinikal bagi fitokompaun baru dengan potensi nilai terapeutik dan komersial, antara bidang lain.
Pengarah Eksekutif Malaysian Genomics, Datuk Alvin Joseph Nesakumar berkata, kumpulan mengalu-alukan kerjasama strategik ini dengan MAHSA dan Kensana untuk mengembangkan aktiviti R&D menggunakan rumusan berasaskan tumbuhan untuk menghasilkan hasil yang boleh dikomersialkan di negara yang mana undang-undang membenarkan penggunaan cannabinoid ubat-ubatan.
Beliau berkata, di Malaysia, terdapat juga langkah untuk mendaftarkan produk cannabidiol pada tahun ini.
“Kami mempunyai pengetahuan pasaran dan kepakaran dalam pengedaran produk berkaitan penjagaan kesihatan, manakala rekod prestasi kerjasama dan perkongsian kami akan membantu menyokong tumpuan kumpulan pada perniagaan biofarmaseutikal untuk pertumbuhan dan kemampanan.
"Kami juga mempunyai teknologi dan peralatan makmal yang diperlikan untuk menyokong usaha penyelidikan dan pembangunan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kensana Health Canada, Ken Clement berkata, pihaknya berharap dapat bekerjasama dengan Malaysia Genomics dan MAHSA dengan menyediakan teknologi dan pengetahuan dalam memajukan usaha R&D.
"Kami mempunyai pengetahuan proprietari serta teknik yang terbukti dalam tanaman dan resipi kanabinoid yang standard dan mempunyai pendekatan unik untuk pengurusan luka di mana kami adalah peneraju dunia," katanya.
Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat dan Universiti MAHSA, Datuk Dr Shahril Haniffa pula berkata, kerjasama ini menghimpunkan pihak yang mempunyai kepakaran dan pengetahuan dalam bidang mereka yang dinantikan untuk bekerjasama serta berkongsi dalam bidang yang universiti berminat untuk melihat diperluaskan.
Katanya, selain mengenal pasti sebatian bioaktif baharu dengan potensi kegunaan terapeutik, kerjasama itu termasuk menawarkan program pendidikan dan latihan kepada pihak berkepentingan, termasuk profesional kesihatan, institusi pendidikan serta hospital yang juga merupakan komponen penting dalam memajukan sains kesihatan. - DagangNews.com








