KUALA LUMPUR 5 Sept - Malaysia merupakan penerima aliran masuk ekuiti asing bersih kedua tertinggi di rantau ASEAN sepanjang 2024 setakat ini (YTD), kata AmInvestment Bank Research.
Menurut firma penyelidikan itu, aliran masuk ekuiti asing bersih YTD Malaysia sebanyak RM3.1 bilion adalah yang kedua tertinggi di rantau ASEAN.
Katanya, tertinggi ialah Indonesia dengan menerima aliran masuk ekuiti asing bersih sebanyak RM7.1 bilion
"Rantau Asia Tenggara yang lain mengalami aliran keluar bersih termasuk Thailand (-RM16 bilion), Vietnam (-RM10 bilion) dan Filipina (-RM1.6 bilion).
"Pada bulan Ogos 2024, Indonesia memimpin rantau ini dengan aliran masuk asing bersih sebanyak RM8.1 bilion, diikuti oleh India (RM5 bilion) dan Malaysia (RM2.5 bilion)," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Sementara itu, AmInvestment berkata, pembelian bersih ekuiti oleh pelabur asing melonjak sebanyak 92% kepada RM2.5 bilion pada Ogos 2024 berbanding RM1.3 bilion pada bulan sebelumnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Pelabur asing beli RM1.5 bilion ekuiti tempatan minggu ketiga berturut-turut, kata MIDF Research
Menurut firma penyelidikan itu, dengan ringgit menguat sebanyak 6.2% pada Ogos 2024, FBM KLCI turut naik sebanyak 3.3% seiring dengan pembelian saham asing.
Katanya, institusi tempatan merupakan penjual bersih sebanyak RM874 juta pada Ogos 2024 dengan sebahagian besar pembelian asing adalah dalam sektor perbankan sebanyak 82%, diikuti utiliti (7%) dan telekomunikasi (5%) dengan baki dalam sektor pembinaan, perladangan, dan penjagaan kesihatan.
"Pada bulan lalu, pelabur asing membeli saham-saham dalam Public Bank, DIMB, Maybank, Hong Leong Bank, RHB Bank, AmBank, Alliance Bank, Tenaga, TM, Celcom Digi, Maxis, IHH Healthcare dan Sime Darby Guthrie.
"Walau bagaimanapun, mereka merupakan penjual bersih bagi YTL Power International, YTL Corp, MISC, Sime Darby, MyEg, Sime Darby Property dan S P Setia," jelasnya.
Seterusnya AmInvestment berkata, dengan sokongan daripada aktiviti pembelian oleh institusi asing sebanyak RM3.1 bilion YTD yang diperkukuhkan oleh pembelian institusi tempatan sebanyak RM2.8 bilion, FBM KLCI mencatatkan kenaikan sebanyak +15%, setanding dengan prestasi pasaran ekuiti Jepun.
"Ini melebihi prestasi Filipina (+7%), Indonesia (+6%), dan Thailand (-4%). Satu-satunya negara ASEAN yang hampir menyamai kenaikan indeks YTD Malaysia adalah Vietnam (+13.6%)," ujarnya. - DagangNews.com








