Malaysia setuju bekalkan 300,000 tong petroleum RON95 kepada Vietnam - PM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia setuju bekalkan 300,000 tong petroleum RON95 kepada Vietnam - PM

HANOI 22 Mac - Malaysia bersetuju membekalkan 300,000 tong petroleum RON95 kepada Vietnam dengan mengambil kira kerjasama baik antara kedua-dua negara.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu diambil selepas Vietnam mengemukakan permintaan bekalan petroleum dan gas tambahan dari Malaysia.

 

"Dalam hal ini, mengambil kira kerjasama baik Malaysia dan Vietnam selain bagi kepentingan industri petroleum dan gas Malaysia, kita bersetuju sebagai langkah permulaan untuk membekalkan 300,000 barrel petroleum (RON95) kepada Vietnam," katanya dalam nota percakapan sidang media sempena lawatan rasmi ke Vietnam.

 

Perdana Menteri, mengadakan lawatan rasmi sulung beliau ke Vietnam sejak Ahad lalu hingga hari ini.

 

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, dalam aspek nilai perdagangan, Malaysia dan Vietnam bersetuju menetapkan sasaran lebih tinggi berbanding USD18 bilion (RM75 bilion) menjelang 2025.

 

"Saya berkongsi pandangan bahawa nilai sasaran ini (USD18 bilion) masih kecil berbanding potensi besar yang dimiliki Malaysia dan Vietnam.

 

"Ini mengambil kira nilai dagangan global Malaysia yang melepasi RM2 trilion (USD477 bilion), sementara nilai dagangan global Vietnam hampir mencecah USD650 bilion," katanya.

 

Beliau berkata, Vietnam adalah rakan dagang keempat terbesar Malaysia dalam ASEAN, dan ke-11 di peringkat global.

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kiri) bersama Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika nota percakapan sidang media kepada kumpulan media Malaysia sempena lawatan rasmi ke Vietnam, hari ini.

 

 

Katanya pada 2021, perdagangan dua hala bernilai USD16.7 bilion (RM70 bilion) di mana ia adalah peningkatan memberangsangkan sebanyak 41.6 peratus berbanding tahun 2020.

 

"Persefahaman sudah dicapai supaya Mesyuarat keempat Jawatankuasa Perdagangan Bersama diadakan dalam masa terdekat bagi menetapkan hala tuju tentang sasaran perdagangan dua hala Malaysia dan Vietnam dan juga meneliti hasrat Vietnam untuk mencapai keseimbangan dagangan dengan Malaysia," katanya.

 

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, dalam aspek pelaburan, Malaysia mengadakan kolaborasi strategik di antara Institut Automotif, Robotik dan internet kebendaan (IoT) Malaysia (MARii) dan FPT Software Vietnam untuk membangunkan Pusat Kecemerlangan Industri Masa Depan (CoEFI) bernilai hampir RM100 juta dalam bidang automotif, Connected Mobility, Robotik, Internet Kebendaan (IoT) dan pendigitalan.

 

Beliau berkata, pihaknya juga menjemput pelabur Vietnam untuk meningkatkan pelaburan di Malaysia antaranya melalui pendigitalan, pembuatan bijak dan keselamatan siber.

 

"Saya juga menyambut baik dan berterima kasih kepada FPT Software yang amat komited untuk melatih 1,000 tenaga kerja Malaysia dalam pembangunan dan kejuruteraan perisian bermula tahun ini di Kuala Lumpur dan Sabah," katanya, lapor Berita Harian.

 

Pelaburan Malaysia di Vietnam bernilai USD13 bilion di mana negara ini adalah pelabur asing kesembilan terbesar di peringkat global dan kedua di peringkat ASEAN. - DagangNews.com