Malaysia sedia tawar produk perbankan Islam untuk industri halal di Vietnam - Ismail Sabri | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia sedia tawar produk perbankan Islam untuk industri halal di Vietnam - Ismail Sabri

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) bersama Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (kanan) dan Menteri Luar Negara, Datuk Saifuddin Abdullah pada sidang media bersama wartawan Malaysia di Vietnam. - PMO

HANOI 22 Mac - Malaysia bersedia menawarkan produk perbankan Islam untuk mempromosi dan mengembangkan ekosistem industri halal di Vietnam, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Beliau berkata, Malaysia turut melihat potensi kerjasama halal dengan Vietnam itu boleh dikembangkan dalam peluang membekalkan makanan halal semasa Sukan SEA 2021 yang akan dihoskan negara itu pada Mei ini.

 

Katanya, ia berikutan Vietnam menyatakan minat untuk meningkatkan kerjasama dengan Malaysia dalam membangunkan industri halal mereka.

 

"Malaysia sedia menawarkan kepakaran dan khidmat nasihat kepada Vietnam, termasuk syarikat Vietnam yang berminat, malah kerjasama ini sudahpun bermula.

 

"Dalam hal ini, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan memastikan Pembangunan Industri Halal (HDC) Malaysia mengambil tindakan susulan yang sewajarnya," katanya dalam nota percakapan sidang media sempena lawatan rasmi beliau ke Vietnam yang dikeluarkan di sini, hari ini.

 

Ismail Sabri yang mengadakan lawatan rasmi sulung beliau selaku Perdana Menteri ke Vietnam sejak 20 Mac lalu turut mengulas isu pencerobohan nelayan Vietnam dan meminta kerajaan negara itu mengambil langkah konkrit mengatasinya selepas Malaysia menyatakan kegusaran berhubung perkara terbabit.

 

Apatah lagi, beliau berkata, kebelakangan ini, terdapat tindakan agresif dan provokatif nelayan Vietnam terhadap penguat kuasa maritim dan juga nelayan Malaysia dalam perairan negara, menurut Berita Harian.

 

 

pm

 

 

"Ini berkait rapat dengan isu dan aktiviti perikanan, iaitu penangkapan ikan secara haram, tidak dilaporkan serta tidak terkawal dalam perairan Malaysia. Aktiviti sedemikian menjejaskan aktiviti perikanan dan mata pencarian nelayan Malaysia," katanya. - DagangNews.com