Malaysia rekod 14 penyenaraian di Bursa Malaysia dengan jumlah modal pasaran RM1.5 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia rekod 14 penyenaraian di Bursa Malaysia dengan jumlah modal pasaran RM1.5 bilion

Oleh NABILA YASMIN RAZIB

[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 6 Okt. - Malaysia merekodkan 14 penyenaraian bernilai kira-kira RM395 dengan modal pasaran berjumlah RM1.5 bilion dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

 

Ketua IPO Deloitte Malaysia,  Wong Kar Choon berkata, daripada 14 penyenaraian itu, dua daripadanya tersenarai di papan utama, tujuh di pasaran ACE dan lima di pasaran leap.

 

"OM Holdings Bhd pula berjaya tersenarai dua bursa iaitu Bursa Malaysia dan Australian Stock Exchange. Secara keseluruhannya, prestasi separuh pertama 2021 adalah mengagumkan berbanding hanya tujuh penyenaraian direkodkan pada 2020," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Menurutnya lagi, Malaysia bukanlah satu-satunya negara dengan prestasi pasaran modal yang baik.

 

"Kami melihat peningkatan dalam aktiviti pasaran modal di seluruh rantau.

 

"Secara keseluruhan, pasaran modal Asia Tenggara mencatatkan 59 IPO pada enam bulan pertama 2021 dan meraih sejumlah AS$5.97 bilion secara keseluruhan,"katanya.

 

Thailand merupakan negara dengan prestasi terbaik dengan meraih AS$3.3 bilion untuk tempoh enam bulan pertama 2021, menyumbang kira-kira 55% kepada modal pasaran di Asia Tenggara. -DagangNews.com