Malaysia dijangka terus raih manfaat daripada kenaikan harga komoditi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia dijangka terus raih manfaat daripada kenaikan harga komoditi

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 20 April - MIDF Research mengekalkan unjuran eksport tahun ini pada 7.8% meskipun berdepan dengan ketidaktentuan dalam tempoh terdekat. 

 

Pada masa sama, ia turut mengekalkan unjuran import pada 9.6%, menurutnya dalam nota kajian hari ini. 

 

Ini berikutan perdagangan Malaysia mengekalkan prestasi memberangsangkan tahun ini dengan mencatat nilai bulanan tertinggi bagi perdagangan, eksport dan import bulan lalu.

 

Perdagangan berkembang 27.3% kepada RM236.57 bilion berbanding Mac 2021, pertumbuhan 2 angka yang ke-14 bulan berturut-turut.

 

Eksport pula naik 25.4% kepada RM131.64 bilion, pertumbuhan 2 angka tahun ke tahun yang kelapan bulan berturut-turut, sementara import meningkat 29.9% kepada RM104.93 bilion.

 

Firma itu berkata, perdagangan luar terus meningkat secara mendadak pada Mac 2022, dipacu lonjakan dalam eksport perlombongan di samping eksport elektrik dan elektronik (E&E) yang lebih kukuh.

 

Katanya, ini secara tidak langsung menunjukkan Malaysia sebagai negara pengeksport komoditi terus mendapat manfaat daripada harga komoditi yang lebih tinggi.

 

Baca : Nilai import Malaysia lepasi RM100 bilion buat kali pertama pada Mac 2022

 

"Bagaimanapun, kami masih berhati-hati dengan prospek masa depan ekoran sekatan pergerakan yang berterusan dan pertumbuhan perlahan di China di samping tindakan ketenteraan Rusia di Ukraine.

 

"Prospek jangka pendek bagi pengeluaran dan perdagangan boleh dikekang oleh gangguan yang berpanjangan dalam rantaian bekalan global dan peningkatan tekanan inflasi," katanya. 

 

Namun, menurut MIDF Research, permintaan global yang semakin berkembang bagi E&E dan komoditi akan menyokong keseluruhan prospek bagi eksport.

 

"Selain itu, pembukaan semula ekonomi akan memudahkan aktiviti perdagangan yang semakin meningkat tahun ini," jelasnya. - DagangNews.com