KUALA LUMPUR 7 Sept - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Australia, Anthony Albanese membincangkan usaha-usaha bagi meningkatkan hubungan dan kerjasama dua hala dalam pelbagai sektor, di bawah kerangka Rakan Kerjasama Strategik Komprehensif (CSP).
Anwar berkata, perkara tersebut dibincangkan ketika pertemuan dua hala mereka sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 dan sidang-sidang kemuncak berkaitan, di Jakarta, Indonesia semalam.
Katanya, peluang ini ruang untuk bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu yang berkepentingan bersama termasuklah perkembangan serantau dan antarabangsa, selain turut membincangkan mengenai Mesyuarat Pemimpin Tahunan Malaysia-Australia yang kedua yang akan dihoskan oleh Australia.
"Saya maklumkan, Malaysia juga mengalu-alukan sambutan Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia yang akan diadakan pada 4 hingga 6 Mac 2024 di Melbourne bagi memperingati Ulang Tahun ke-50 Hubungan Dialog ASEAN-Australia.
"Di kesempatan yang ada juga, saya turut menegaskan keperluan terhadap sistem kewangan serantau bagi menangani ketidaktentuan ekonomi global dan risiko kewangan seterusnya memperkukuh rangkaian keselamatan dan kemandirian ekonomi rantau Asia Tenggara.
"Hatta, tidak salah untuk saya menzahirkan kebimbangan berkaitan isu keselamatan makanan dan menyeru kepada peningkatan kerjasama dalam bidang pertanian pintar, dengan tumpuan terutamanya kepada petani-petani kecil," katanya menerusi kenyataan di Facebook, malam tadi.

Tambah Anwar, beliau turut menggesa kerjasama dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui, aset biodiversiti, dan aplikasi teknologi pertanian.

Katanya, mesyuarat telah memperakukan Pernyataan Pemimpin ASEAN Campur Tiga mengenai Pembangunan Ekosistem Kenderaan Elektrik. - DagangNews.com








