Malaysia antara destinasi global paling popular pelancong China dengan peningkatan transaksi melalui Alipay+, PayNet | DagangNews Skip to main content

Malaysia antara destinasi global paling popular pelancong China dengan peningkatan transaksi melalui Alipay+, PayNet

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 28 Feb - Malaysia tersenarai sebagai destinasi global ke-5 paling popular dalam kalangan pelancong China pada Tahun Baharu Cina 2024, menurut data Alipay+.

 

Dalam tujuh hari pertama Tahun Baru Cina sahaja, perbelanjaan mereka di Malaysia adalah dua kali ganda berbanding Tahun Baru Cina 2019, dan lebih 10 kali ganda berbanding Tahun Baru Cina 2023.

 

Pengurus Besar Alipay+ Offline Merchant Services Ant International, Dr Cherry Huang berkata, pembayaran mudah alih menjadi pemacu semakin penting untuk perdagangan tempatan dan rentas sempadan di dalam atau luar Asia, susulan penggunaan merentasi pelbagai peringkat usia dan kumpulan pendapatan.

 

"Menerusi kerjasama kami dengan PayNet, kami menyaksikan lonjakan dalam transaksi Alipay+ pada rangkaian DuitNow QR. Ini menunjukkan ia bukan hanya memberi lebih kemudahan kepada pelancong, tetapi juga membawa lebih peluang kepada perniagaan tempatan, baik besar mahupun kecil. 

 

"Kami berharap untuk mengukuhkan kerjasama kami dengan rakan-rakan kongsi tempatan bagi menyumbang kepada sektor pelancongan yang rancak di Malaysia," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Menurut kenyataan itu, pengembangan rangkaian e-dompet menjelang musim kemuncak perjalanan  memberi kemudahan tambahan kepada pelancong serta meningkatkan peluang pertumbuhan untuk peniaga tempatan. 

 

Selain pelancong China katanya, Malaysia menjadi destinasi ke-6 paling popular dalam kalangan pelancong Asia yang lain. 

 

 

alipay

 

 

"Berdasarkan transaksi daripada pelbagai aplikasi rakan kongsi pembayaran Alipay+, perbelanjaan pelancong dari Hong Kong SAR, Filipina dan Thailand adalah yang tertinggi di Malaysia, selain pelancong dari China," katanya.

 

Berbanding Disember 2023 katanya, pada Februari 2024, purata transaksi harian melalui Alipay+ pada DuitNow QR meningkat 2.5 kali, manakala perbelanjaan melalui pengguna rakan kongsi Alipay+ di rakan niaga DuitNow QR turut sama meningkat.

 

Ketua Pegawai Komersial PayNet, Gary Yeoh pula berkata, pihaknya berbangga untuk melibatkan diri dalam perjalanan transformasi ini bersama Alipay+. 

 

"Kerjasama ini menunjukkan bagaimana ia dapat memacu pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan pengalaman pelancongan, mempermudah urusan pembayaran bagi pelancong antarabangsa dan membuka peluang yang luas bagi peniaga tempatan," katanya.

 

Katanya, sementara kerajaan giat merancakkan pelancongan, khususnya dalam persediaan menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026, pihaknya akan terus mengekalkan tumpuan pada pengalaman pelancongan tanpa tunai. - DagangNews.com