KUALA LUMPUR 20 Ogos - Malakoff Corporation Berhad mempunyai peluang baik untuk memanfaatkan permintaan tenaga yang kian meningkat dalam jangka panjang berikutan kedudukan syarikat itu yang telah lama telibat sebagai pengeluar kuasa bebas (IPP).
RHB Investment Bank berkata, selain itu, terdapat kemungkinan untuk perjanjian pembelian kuasa (PPA) dilanjutkan ekoran penamatan operasi loji tenaganya yang berasaskan gas baru-baru ini.
"Bagi memenuhi permintaan yang begitu kukuh, kami difahamkan adanya kapasiti terkumpul sebanyak 1 gigawatt (GW) untuk PPA jangka dekat selama 1+1 tahun yang akan ditawarkan dalam masa terdekat.
"Kami tidak menolak kemungkinan pelanjutan PPA untuk loji tenaga berasaskan gas yang bakal tamat tempoh. Untuk makluman, PPA MLK untuk loji tenaga GB3 berkapasiti 650MW dan loji tenaga Prai berkapasiti 350MW telah tamat tempoh pada Disember 2022 dan Jun 2024.
"Oleh demikian itu, dua loji ini mungkin berpeluang untuk dihidupkan semula jika PPA mereka dilanjutkan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut RHB Investment, pertumbuhan penggunaan tenaga elektrik di Semenanjung Malaysia dijangka melepasi pertumbuhan purata 10 tahunnya iaitu 2.4% yang secara umumnya disebabkan oleh pengembangan pusat data yang berterusan.
"Penggunaan tenaga oleh pusat data dilihat mencatat CAGR 1.6%-2.6% pada 2023-2035, sekiranya pusat ata berkapasiti 3GW-5GW akan beroperasi sepenuhnya menjelang 2035.
"Pihak kerajaan telah mengunjurkan margin rizab mencecah 28-36% antara 2024 dan 2030," ujar firma penyelidikan itu.
RHB Investment juga mengekalkan saranan 'BELI' dengan harga sasaran (TP) baharu mencecah RM1.11 daripada 86 sesaham dengan potensi kenaikan harga saham 16%.
"Kami yakin IPP sedia ada berkemungkinan akan mengembangkan loji tenaga berasaskan gas baharu pada masa hadapan susulan penamatan operasi loji jana kuasa menggunakan arang batu.
"Sekarang, MLK mempunyai kapasiti haba 5.3GW dan menyasar untuk mencapai kapasiti 10GW sebelum 2031. Maka, kami menjangka mereka akan menambah kapasiti gas baharu dalam jangka sederhana," jelasnya. - DagangNews.com








