KUALA LUMPUR 25 Julai - Malacca Securities menurunkan taraf saranan bagi UOA Real Estate Investment Trust (UOA REIT) kepada ‘pegang’ daripada ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) dikurangkan kepada RM1.20 seunit.
Firma penyelidikan tersebut mengurangkan unjuran pendapatan UOA REIT bagi tahun kewangan 2023 hingga 2025 (FY23-25) sebanyak 5.6 sehingga 6.4% masing-masing pada RM58.1 juta, RM58.6 juta dan RM59.2 juta dengan mengambil kira perbelanjaan hartanah dan kos pinjaman yang lebih tinggi.
Ini adalah susulan syarikat itu mencatatkan keuntungan bersih pada suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23) berada di bawah jangkaan firma.
“Pendapatan teras UOA REIT pada 2QFY23 mencapai RM13.9 juta, menjadikan jumlah enam bulan pertama tahun kewangan 2023 (6MFY23) kepada RM28.1 juta, yang menyumbang 45.6% dan 42.7% daripada anggaran kami dan konsensus,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Malacca Securities berkata keputusan tersebut dianggap di bawah jangkaan dan sisihan utama termasuk (i) kadar penghunian lebih rendah di Wisma UOA II dan Wisma UOA Damansara II, (ii) perbelanjaan yang lebih tinggi daripada kos elektrik, pembaikan dan penyelenggaraan serta kos pinjaman.
“Kami kekal optimistik dengan berhati-hati terhadap prospek ruang pejabat kerana sentimen pasaran kekal lemah dalam keadaan tidak menentu timbul daripada inflasi yang tinggi, kenaikan kadar faedah pada masa hadapan serta keadaan lebihan bekalan dalam ruang pejabat; oleh itu kadar sewa dijangka mendatar.
“Kadar penghunian portfolio keseluruhan berada pada 80.8% dalam 2QFY23 mungkin secara beransur-ansur meningkat, tetapi masih di bawah paras sebelum pandemik 91.5% pada FY19,” tambahnya.
Menurut firma itu, risiko kepada saranan termasuk pemulihan yang lebih perlahan daripada jangkaan dalam aktiviti penyewaan disebabkan peralihan kaedah kerja selepas persekitaran pandemik.
Selain itu, kos pinjaman dan tarif elektrik yang lebih tinggi mungkin terus mempengaruhi margin UOA REIT dan prestasi kewangan keseluruhan pada masa hadapan.
Pada waktu penulisan, UOA REIT didagangkan pada RM1.12, susut 1 sen atau 0.9% dengan modal pasarannya bernilai RM756.7 juta. - DagangNews.com








