Malacca Securities optimis dengan prospek Wellspire, beri nilai wajar sebanyak 27 sen | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malacca Securities optimis dengan prospek Wellspire, beri nilai wajar sebanyak 27 sen

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR  16 Jan - Malacca Securities Sdn. Bhd. memberi nilai wajar sebanyak 27 sen terhadap Wellspire Holdings Bhd. dengan menjangkakan pendapatan terasnya akan terus berkembang didorong peningkatan permintaan tengah-tengah pemulihan ekonomi. 

 

Menurut firma itu, pengembangan pelbagai produk dan pengurangan harga daripada pembekal ekoran kos bahan mentah, pembungkusan dan tenaga yang lebih rendah juga akan mempengaruhi prospek pendapatan teras kumpulan. 

 

Ketika ini, Wellspire kekal menjadi pengedar eksklusif bagi biji bunga matahari dan kekacang dengan jenama ChaCha bagi pasaran Thailand. 

 

Produk yang dijual di bawah jenama itu diperoleh daripada QiaQia, pengeluar biji dan kacang panggang yang berpangkalan di China, dan makanan ringan yang dibakar.

 

Malah, produk QiaQia dijual di China dan dieksport ke Thailand, Malaysia, Indonesia, Vietnam, Amerika Syarikat (AS) dan Kanada. Ia mempunyai 10 kemudahan pengeluaran, dengan sembilan daripadanya berada di China dan satu di Thailand.

 

Wellspire memperoleh biji bunga matahari dan kacang dari Thailand dan China. Ketersediaan kemudahan pengeluaran QiaQia di Thailand memberikan kelebihan dari segi kos kepada Wellspire berbanding pemain lain.

 

Selain itu, kumpulan juga mengedarkan jenama pihak ketiga dikenali sebagai Cundo, dan tiga lagi jenama miliknya iaitu Pee Ree, Miyu dan King Kong yang diimport dari China. 

 

Jenis produknya termasuklah kacang hijau, biji tembikai, kekacang, bar buah-buahan, kek lapis, biskut dan snek coklat. 

 

Menurut Malacca Securities, hasil daripada biji bunga matahari kekal menjadi penyumbang utama kepada pendapatan Wellspire walaupun hasil daripada jualan snek makanan lain semakin meningkat. 

 

"Ia menyumbang sebanyak 95.4%, 93.4% dan 92.1% masing-masing bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 (FY19), FY20 dan FY21," katanya.

 

Firma itu percaya, langkah kerajaan Thailand memperkenalkan langkah-langkah rangsangan ekonomi akan kelonggaran sekatan perjalan akan terus menyokong pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan pendapatan bulanan isi rumah.

 

Malah, ia menjangkakan pendapatan dan keuntungan Wellspire akan merekodkan peningkatan bagi FY23 masing-masing sebanyak 15% tahun ke tahun kepada RM139 juta dan 85.7% kepada RM13 juta didorong terutamanya peningkatan permintaan di tengah-tengah aktiviti yang kembali normal.

 

"Pengembangan rangkaian produk akan menyediakan sumber pendapatan baharu masa hadapan kepada kumpulan.

 

"Kami juga menyukai idea Wellspire untuk memperoleh atau membina gudang dan kemudahan operasi di Thailand kerana kumpulan itu akan dapat menikmati penjimatan sewa dan meningkatkan asas asetnya memandangkan pusat pengedaran itu sedang disewa," jelasnya. - DagangNews.com