Majlis Perniagaan Malaysia Australia sedia bantu kerajaan tangani inflasi makanan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Majlis Perniagaan Malaysia Australia sedia bantu kerajaan tangani inflasi makanan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 31 Mei - Jawatankuasa Makanan dan Pertanian Majlis Perniagaan Malaysia Australia (MABC) baru-baru ini mengadakan perbincangan rasmi untuk meneroka cara membantu kerajaan Malaysia dan semua pihak berkepentingan dalam usaha berterusan bagi mengurangkan inflasi berasaskan makanan di negara ini. 

 

Jawatankuasa Eksekutif MABC dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, MABC mengalu-alukan langkah kerajaan untuk mengurangkan kerenah birokrasi dan kos pemprosesan berkaitan dengan import makanan terutamanya dalam pemansuhan permit import (AP).

 

"Pengumuman kerajaan baru-baru ini untuk meningkatkan penggunaan teknologi di seluruh rantaian bekalan juga merupakan langkah yang dialu-alukan. 

 

"Selaras dengan amalan terbaik global, inisiatif ini harus melihat kepada 'penghilang kesesakan' dan penghapusan kesesakan dalam rangka kerja pematuhan," katanya.

 

Katanya, MABC akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan Malaysia dan semua pihak berkepentingan untuk mencapai masa depan yang mampan.

 

Pada 18 Mei 2022, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan memansuhkan kelulusan AP bahan makanan berkuat kuasa serta merta.

 

Langkah itu dibuat dalam mesyuarat Kabinet sebagai langkah penting dalam menjamin keselamatan makanan di negara ini. - DagangNews.com