KUALA LUMPUR 7 Sept - Mah Sing Group Berhad telah menandatangani perjanjian pemegang saham dengan The South Sea Capital Sdn Bhd (TSSC) bagi membentuk usaha sama (JV) untuk menceburi pembangunan hartanah perindustrian.
Anak syarikat milik penuh Mah Sing, Nova Legend Development Sdn. Bhd. dan Jastamax Sdn. Bhd. telah menandatangani perjanjian TSSC, yang terlibat dalam perundingan hartanah industri, reka bentuk dan pembinaan, pengurusan pembangunan serta pelaburan.
Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, Nova Legend dan Jastamax masing-masing akan memegang 50% dan 20% kepentingan ekuiti dalam syarikat JV itu, bernama Mah Sing South Sea Industrial Development Sdn Bhd.
TSSC akan memegang 30% kepentingan dalam syarikat itu.
Salah seorang pengarah TSSC, Sun Jianwei merupakan Presiden Eksekutif Persatuan Perniagaan Usahawan JiangSu Malaysia.
Beliau mempunyai pengalaman dalam pelbagai landskap perindustrian, dengan sektor utama daripada pembuatan kepada teknologi dan perkhidmatan.
Mah Sing telah menyiapkan pembangunan lima taman perindustrian iaitu Taman Perindustrian Bersepadu Mah Sing di Mutiara Subang, iParc di Bukit Jelutong, iParc 2 di Shah Alam, iParc 3 di Bukit Jelutong, dan Mah Sing iParc di pelabuhan Tanjung Pelepas. - DagangNews.com








