KUALA LUMPUR 2 Sept - Mah Sing Group Berhad dijangka mampu mencatatkan keuntungan jualan tanah yang besar untuk pusat data pada tahun kewangan 2025 (FY25), kata RHB Investment Bank.
Jelas firma penyelidikan itu, selepas pembinaan pusat data 100MW dengan Bridge DC, Mah Sing kini dalam rundingan lanjut untuk plot tanah seterusnya di Southville DC Hub, Selangor dengan kapasiti: 90MW.
"Di Johor, kira-kira 42.5 ekar tanah di Meridin East mungkin juga akan dijual kepada pemain pusat data. Justeru, keuntungan jualan tanah yang besar boleh dicatat pada FY25," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut firma penyelidikan itu, aliran berita mengenai pelaburan syarikat dalam segmen pusat data akan terus menarik minat pelabur terhadap saham ini.
RHB Investment sehubungan itu, mengekalkan saranan 'Beli' pada harga sasaran (TP) RM2.26 sesaham dengan potensi kenaikan 39% dan hasil sekitar 3%.
Jelas firma itu, keputusan suku kedua tahun kewangan 2024 (2QFY24) Mah Sing juga berada dalam jangkaan.
"Pendapatan dan keuntungan 2Q24 kekal stabil berbanding 1Q24. Pendapatan 1H24 menurun, terutamanya disebabkan oleh peratusan tinggi projek baru yang berada di peringkat awal pembinaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Mah Sing diunjur raih pendapatan RM60 juta daripada pusat data pada FY26 - Rakuten Trade
"Walau bagaimanapun, pertumbuhan EBIT yang lebih baik dalam 1H24 adalah disebabkan oleh margin yang lebih baik dan pengurangan kerugian dari segmen pembuatan berbanding tempoh yang sama tahun lalu," jelasnya.
Sementara itu, kata RHB Investment, jualan hartanah 2Q24 mencapai RM650 juta berbanding RM595 juta pada 1Q24 dengan jualan hartanah keseluruhan untuk 8M24 telah mencapai RM1.66 bilion yang mana RM1.25 bilion disumbangkan terutamanya oleh M Minori di Johor (RM331 juta), M Zenya (RM281 juta), Meridin East (RM271 juta) dan M Senyum (RM121 juta).
"Selain tempahan sedia ada bernilai Rm259 juta, dengan pelancaran projek yang sihat termasuk M Azura di Setapak, M Tiara rumah berkaitan di Johor Bahru, M Aspira di Taman Desa serta pelancaran pertama M Legasi di Semenyih (tanah Glengowrie), Mah Sing dijangka dapat mencapai sasaran jualan Rm2.5 bilion menjelang akhir tahun.
"Pada pandangan kami, rumah teres di Iskandar Malaysia dan Semenyih dijangka diterima dengan baik," ujarnya. - DagangNews.com








